Dana syarikat arak: Maszlee selar Guan Eng, pertahan Fadhlina

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak seharusnya melihat isu promosi arak di dalam acara melibatkan sekolah dari sudut politik, agama mahupun perkauman.

Sebaliknya, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan garis panduan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis berkenaan dibuat kerana isu kesihatan, kesejahteraan dan sivik.

"Apa yang dilakukan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) adalah selari dengan keputusan Kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling KPM sedia ada dan semangat Madani yang dibawa oleh kerajaan perpaduan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.

"Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran di dalam acara melibatkan sekolah adalah tindakan membuka kotak Pandora untuk membenarkan industri tidak sihat lain untuk dipromosikan di dalam ranah pendidikan seperti industri tembakau, industri vape, industri perjudian dan hiburan kelab malam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Jumaat dilapor mengeluarkan kenyataan meminta Fadhlina supaya menjadi menteri pendidikan untuk Kerajaan Perpaduan dan rakyat, bukannya ‘Menteri Pendidikan Pas’.

Ia susulan KPM mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

Sementara itu, menyentuh mengenai tindakan Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dalam dalam acara mempromosikan syarikat arak di dalam acara sekolah baru-baru ini hingga mencetuskan kontroversi, Maszlee berkata, ia merupakan insiden memalukan dan menjatuhkan imej parti yang diwakilinya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Islam rahmah yang dibawa oleh parti Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah.

"Sewajarnya jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai ahli parlimen secara terhormat dan juga meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Amanah.

"Ia akan menjadi pengajaran kepada ahli Parlimen Amanah yang lain agar lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip rahmah yang sebenar, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!