Dua maut nahas Toyota Hilux bertembung treler
TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Dua maut manakala tiga lagi cedera parah termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka bertembung dengan treler di KM145 Jalan Kuala Lumpur - Kuantan menghala ke Kuantandi sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, mangsa iaitu pemandu Toyota Hilux seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan penumpang, seorang warga China iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibatkan treler yang tidak membawa muatan dari arah Kuantan menghala ke arah Kuala Lumpur.
"Apabila sampai di lokasi kemalangan, kedua kenderaan telah bertembung di laluan bertentangan dengan Hilux yang datang dari arah Kuala Lumpur.
"Akibat dari perlanggaran tersebut, pemandu dan seorang penumpang Hilux telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, tiga lagi penumpang Hilux terdiri lelaki warga emas berusia 69 dan 63 dan seorang kanak-kanak warga China telah mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
Jelasnya, mangsa sedang menerima rawatan di zon merah dan zon kuning dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil.
"Pemandu treler berusia 63 tahun pula mengalami kecederaan ringan," kata Mazlan.
Tambahnya, bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperoleh dan siasatan lanjut diteruskan serta kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!