Pelbagai tawaran, aktiviti menarik menanti pelanggan PTPTN
SHAH ALAM - Pelbagai tawaran istimewa dan aktiviti menarik menanti pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sempena Hari Kantin di Kompleks Karangkraf di sini bermula Jumaat hingga Sabtu.
Sempena Hari Kantin di Karnival Rakyat Karangkraf di Seksyen 16 itu antara lain menawarkan bayaran tunggakan serendah RM300 untuk peminjam PTPTN membuat penstrukturan semula pinjaman melalui Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300.
Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Selangor, Rohaida Deris berkata, agensi itu turut menganjurkan Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 yang menawarkan hadiah lumayan bernilai lebih RM1.3 juta untuk 983 pemenang dan tempoh kempen berakhir pada 31 Disember 2024.
Ujarnya, PTPTN menyediakan tiga reruai utama bagi pengunjung termasuk peminjam untuk mendapatkan pelbagai informasi mengenai perkhidmatan dan maklumat yang ditawarkan agensi berkenaan secara lebih dekat.
"Tidak ketinggalan juga pihak PTPTN mengadakan pelbagai acara di Hari Kantin sempena Karnival Rakyat Karangkraf yang bermula pada Jumaat selama dua hari di Kompleks Karangkraf.
"Kami rasa sangat berbesar hati apabila dapat bersama-sama memeriahkan lagi suasana Hari Kantin dan dapat memperkenalkan kepada murid dan guru pelbagai perkhidmatan dan maklumat berkenaan PTPTN termasuk tentang pentingnya menabung pada awal usia.
"Kita juga menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk cenderahati berupa beg sekolah, tabung dan payung kepada pengunjung yang mengunjungi reruai PTPTN," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Hari Kantin dengan kerjasama PTPTN yang berlangsung di reruai Sinar Bestari itu turut menganjurkan demo memasak bersama Chef Asma.
Terdapat 10 sekolah yang akan mempromosikan pelbagai jenis produk makanan dan hasil keuntungan itu akan digunakan untuk membaik pulih atau menambah baik fasiliti tempat belajar masing-masing.
Menurut Rohaida, pengunjung juga boleh menyertai pertandingan pop kuiz bersama PTPTN serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
"Hari Kantin di reruai Sinar Bestari kali ini sangat menarik yang mana murid dan guru akan mempromosikan produk mereka.
"Kita mahu anak-anak ini belajar ilmu keusahawanan di samping dapat kumpul dana untuk sekolah masing-masing," ujarnya lagi.
Rohaida berkata, selain membuka gerai dengan tema tradisional, mereka juga berpeluang memenangi hadiah bagi kategori Gerai Paling Meriah, Gerai Paling Kreatif dan Gerai Paling Banyak Membuat Kutipan daripada pihak PTPTN.
"Selain itu kita ada juga demo memasak dan saya harap semua orang dapat hadir bersama-sama memeriahkan lagi acara Karnival Rakyat kali ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!