Industri perikanan catat 1.3 juta tan metrik pengeluaran ikan
JELEBU - Industri perikanan Malaysia mencatatkan pengeluaran ikan sebanyak 1.3 juta tan metrik sehingga kini sekali gus menjamin bekalan makanan dalam negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, jumlah pengeluaran ikan dijangka akan meningkat berbanding tahun lalu yang mencatatkan sekitar 1.79 juta tan metrik dengan nilai keseluruhan mencecah sebanyak RM16.4 bilion.
"Jumlah pengeluaran tersebut merangkumi subsektor Perikanan Tangkapan, subsektor Akuakultur dan subsektor Perikanan Darat.
"400,000 tan lagi kita akan capai tahap pengeluaran (melepasi tahun lalu), malah pembangunan akuakultur dilihat amat berpotensi untuk dimajukan secara komersial bagi menjamin bekalan ikan dalam negara selain ikan sumber laut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Karnival Usahawan MyAgropreneur Perikanan (MYAP) dan MyKomuniti Perikanan (MYKP) Zon Selatan 2024 di Dataran Kuala Klawang di sini, pada Sabtu.
Hadir menyempurnakan program Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Wan Muhammad Aznan berkata, pihaknya juga akan meningkatkan kadar pengeluaran benih dari segi kadar tumbesarannya seperti udang galah ada sistem tertentu digunakan dan sebagainya.
Dalam pada itu, beliau berkata, akuakultur di Negeri Sembilan merupakan penyumbang terbesar pengeluaran perikanan negeri.
"Ia meliputi 90.78 peratus atau 5,587.4 tan metrik pengeluaran ikan secara keseluruhan dengan nilai RM 73,867,000 bagi tahun 2023.
"Selain itu,ia melibatkan seramai 431 pengusaha akuakultur berdaftar dan daerah Jelebu merupakan pengeluar ikan air tawar terbesar di Negeri ini (1,573.13 tan metrik dan nilai RM 17,673,944.70),"katanya.
Sementara itu mengenai pengambilan dan pengeluaran kupang di Negeri Sembilan khususnya di Port Dickson, katanya,larangan mengenainya masih dikuatkuasakan sehingga awal Oktober ini.
Katanya,pihaknya akan mengemaskini maklumat terkini berhubung perkara itu daripada masa ke masa susulan makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur masih mengesan biotoksin yang tidak stabil.
"Kita ada prosedur operasi standard (SOP) yang memperuntukkan tempoh selama dua bulan sebagai tempoh bertenang bagi memastikan kerangan ini benar-benar selamat dimakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!