Olimpik Paris: Berikan terbaik, demi lencana di dada!
DATUK Lee Chong Wei meminta semua pihak berdoa dan memberikan sokongan kepada kontinjen negara dalam misi mengharumkan nama Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirai secara rasmi awal pagi Sabtu.
Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia dan pemenang tiga pingat perak Olimpik itu berharap dengan doa dan sokongan berterusan kontinjen negara dapat kembali dengan membawa pulang pingat emas pertama negara yang dinanti-nantikan selama ini.
“Gemuruh jiwa, semangat di dada, Team Malaysia! Serulah semua, Malaysia Boleh! Temasya sukan terbesar dunia kini kembali ! Kepada atlet, berikan yang terbaik, demi lencana di dada!
“Yang menyokong seperti saya, jangan putus berdoa dan menyokong agar skuad kebangsaan dapat kembali dengan emas pertama negara. Jangan cemas! Malaysia boleh,” tulis legenda badminton negara itu dalam hantaran Facebook rasminya pada Jumaat.
Pada masa sama Chong Wei turut mengingatkan atlet-atlet negara supaya tidak cemas semasa pertandingan dengan berkongsi kisah lucu semasa kali pertama beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004.
Katanya, kisah lucu tersebut secara tidak langsung menghilangkan perasaan gementar dan membolehkannya meraih kemenangan untuk mara ke pusingan kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!