Tarian singa, gendang 24 musim 'satukan' pengunjung karnival
SHAH ALAM - Persatuan Tarian Cina Universiti Malaya (UM) tampil dengan persembahan berbeza-beza sepanjang tiga hari Karnival Rakyat Karangkraf 2024, menjadikannya sebagai antara tarikan kemeriahan pelbagai acara yang berlangsung.
Persembahan meliputi tarian singa dan gendang 24 musim itu dibawakan khas dengan kerjasama Sin Chew Daily.
Setiausaha Persatuan Tarian Cina UM, Jong Wan Rong berkata, Karnival Rakyat Karangkraf 2024 memberi pengalaman berharga buat pasukannya apabila dapat membuat persembahan di hadapan pengunjung pelbagai kaum.
Menurutnya, seramai 30 orang ahli kumpulan terlibat dalam setiap persembahan meliputi tarian singa dan persembahan gendang.
"Setiap program memang kami akan tampilkan persembahan yang berbeza...untuk karnival ini, semalam kami kita ada akrobatik, iaitu tarian singa atas tiang dan gendang.
"Bagi hari ini (Sabtu) kita persembahkan tarian singa secara tradisional termasuk menjelajah ke ruang-ruang pameran yang disediakan.
"Untuk hari terakhir esok (Ahad) kita akan beri sentuhan berbeza, jadi orang ramai perlu datang untuk menyaksikannya sempena hari terakhir acara," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tambah beliau, dengan kehadiran ramai pengunjung pelbagai kaum, karnival berkenaan menjadi platform terbaik buat masyarakat mengenali budaya lain dengan lebih dekat.
"Pertama kali saya lihat program yang ramai kaum lain terutamanya Melayu sebab sebelum ini kami banyak mendapat jemputan membuat persembahan dalam acara dihadiri komuniti cina.
"Rasa gembira sebab lihat ramai teruja terutamanya kanak-kanak. Mungkin ramai yang tak pernah lihat tarian singa depan mata.
"Harap lebih ramai datang dan sokong karnival ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!