'Syukur menang empat tiket taman tema, ini rezeki anak saya'
SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal memenangi hadiah berupa empat keping taman tema pada cabutan bertuah kategori umum sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di sini pada Sabtu.
Saadiah Yahaya, 49, berkata, dia tidak menyangka namanya disebut untuk cabutan bertuah tersebut kerana tidak pernah merasai dalam mana-mana program sebelum ini.
"Alhamdulillah, syukur sangat. Ini juga rezeki tiga anak saya untuk merasai bermain di Taman Tema Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
"Pasti seronok mereka dapat manfaatkan cuti sekolah nanti. Jadi anda di luar sana datanglah beramai-ramai pada hari akhir esok (Ahad)," katanya kepada Sinar Harian.
Orang ramai masih berpeluang mendapat hadiah kategori ini pada Ahad jam 1.30 tengah hari dengan hanya perlu mendaftar di kaunter dan bakal membawa pulang jam tangan, tiket taman tema, produk Tomkraf, buku keluaran Grup Buku Karangkraf, cenderahati eksklusif Sinar Harian dan pelbagai lagi.
Selain itu, pengunjung yang hadir pada hari akhir karnival tersebut berpeluang menyertai cabutan bertuah kategori utama dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang sempena majlis penutup karnival berkenaan.
Untuk kategori utama ini, pengunjung perlu sertakan resit pembelian sebarang produk Karangkraf seperti Tomkraf dan Grup Buku Karangkraf berjumlah RM100 serta mendaftar di reruai pendaftaran.
Hadiah lumayan tersedia bagi kategori ini berupa motosikal dan barangan elektrik jenama terkemuka seperti vakum, penyedut hampagas hama habuk, mesin membuat kopi, cerek, pemproses makanan dan pengisar, seterika wap, periuk nasi, pengisar jus serta penggoreng kering.
Sementara itu, peniaga, Nur Shahirah Md Ghazali, 28, turut beruntung mendapat jam tangan bernilai lebih RM400 menerusi kuiz yang diadakan pada sesi cabutan bertuah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!