Inovasi lampu LED untuk kesegaran makanan juara NaSIC’24

Kumpulan Masterminds dari SMK Bandar Seri Putra dinobat juara NaSIC’24.
Kumpulan Masterminds dari SMK Bandar Seri Putra dinobat juara NaSIC’24.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inovasi teknologi lampu LED bagi memanjangkan tempoh kesegaran bahan makanan dinobat pemenang National Sustainability Innovation Challenge 2024 (NaSIC’24).

Kumpulan diberi nama Masterminds diwakili oleh Aisya Sofea Jamil, 17 bersama Az Zahraa Azhan, 17 dan Nurraihanah Safiyyah, 17 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putera menewaskan empat finalis lain pada pertandingan akhir berlangsung di Lotus’s Kepong pada Sabtu.

Az Zahraa yang turut menang kategori Penyampai Terbaik berkata, idea tersebut tercetus daripada pelaksanaan kaedah itu di negara Eropah namun belum berkembang di Malaysia.

Menurutnya, masa dua bulan diambil untuk persiapan kertas kerja melalui beberapa bahan rujukan kajian yang diperoleh.

"Jika Lotus’s mengambil idea ini, meraka akan menjadi pasar raya pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi ini," katanya selepas dinobat pemenang NaSIC’24.

NaSIC’24 merupakan pertandingan penyelesaian lestari kitar semula bertemakan pengurangan pembuangan sisa pepejal anjuran Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) bersama Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Hadir pada program itu Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Azmel.

Salah satu finalis membuat pembentangan kertas kerja pada pertandingan akhir NaSIC’24 di Lotus's Kepong pada Sabtu.
Salah satu finalis membuat pembentangan kertas kerja pada pertandingan akhir NaSIC’24 di Lotus's Kepong pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Az Zahraa berkata, kumpulannya layak menang pertandingan itu kerana telah membuat persediaan awal bagi memenuhi kriteria penjurian ditetapkan.

"Sebenarnya ini tahun kedua menyertai pertandingan ini, seperti kita tahu Lotus's mementingkan aspek pemasaran jadi kita masukkan elemen itu supaya juri dapat menerima idea yang dibawa.

" Tahun lepas Lotus's tidak berminat dengan idea yang dibawa kerana produk tersebut mengambil masa lama untuk dihasilkan," katanya.

Dia memaklumkan, kumpulannya sekadar menang anugerah perak pada tahun lalu dan tahun ini berjaya anugerah emas seterusnya dinobat juara keseluruhan.

Sementara itu, Azliza berkata, sebanyak 142 kumpulan menyertai pertandingan yang memasuki edisi kedua tahun ini berlangsung selama 17 minggu bermula April lalu hingga Julai.

Menurutnya, sebanyak 50 kumpulan telah disenarai pendek sebelum lima terbaik perlu membuat pembentangan akhir di hadapan barisan juri.

Ujar beliau, sebanyak lima kriteria penjurian ditetapkan bagi pemilihan pemenang meliputi keperluan produk, kaedah penyelesaian, manfaat produk, keunikan idea dan cara penyampaian kertas kerja.

"Pemenang yang memberikan penyelesaian inovasi penggunaan lampu LED merupakan idea bernas yang boleh digunakan oleh Lotus's Malaysia dalam memberikan kualiti makanan lebih baik.

"Pihak UTM akan mengambil idea itu untuk lanjutan kajian dan jika idea itu boleh digunakan oleh Lotus's maka ia sesuatu yang baik bertepatan keperluan kami ke arah penjagaan kualiti makanan," katanya.

Barisan pemenang bergambar kenangan.
Barisan pemenang bergambar kenangan.

Dalam pada itu beliau berkata, NaSIC’24 pada kali ini menerima penyertaan memberangsangkan termasuk peserta daripada Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, program tersebut akan diteruskan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada peserta berusia 16 hingga19 tahun untuk berinovasi dan menimba pengalaman terlibat secara langsung mendepani cabaran perniagaan dan mencari kaedah penyelesaian terbaik.

Tempat kedua dimenangi Kolej Vokasional Taiping dengan idea penghasilan batu-bata menggunakan bahan kitar semula kertas serta kulit telur.

Tempat ketiga milik Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong dengan cadangan penyelesaian peralihan resit cetak kepada digital.

Tempat pertama membawa pulang baucer tunai RM1, 200, manakala tempat kedua dan ketiga sebanyak RM900 serta RM600.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!