Baru seminggu belajar sajak, pelajar Cina menang tempat ketiga

Chaw Zhi Xin Jessica raih tempat ketiga dalam Pertandingan Deklamasi Sajak anjuran Kumpulan Karangkraf bersama Bank Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024.
Chaw Zhi Xin Jessica raih tempat ketiga dalam Pertandingan Deklamasi Sajak anjuran Kumpulan Karangkraf bersama Bank Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024.
A
A
A

SHAH ALAM- Meskipun baru seminggu mengasah kemahiran bersajak, seorang pelajar berbangsa Cina berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Deklamasi Sajak anjuran Kumpulan Karangkraf bersama Bank Rakyat sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024.

Pelajar dari Sekolah Menengah Sri UCSI, Petaling Perdana, Chaw Zhi Xin Jessica, 16, berkata, dia menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang tempoh mempelajari seni sastera tersebut dan tidak menyangka usahanya itu membuahkan hasil.

Menurutnya, latihan pertama bersama guru di sekolah tidak berjalan lancar kerana dia masih belum mahir membaca mengikut intonasi dan lenggok sajak tersebut.

“Saya baru sahaja belajar membaca sajak termasuk intonasi dalam tempoh seminggu kerana dua minggu lalu sibuk dengan peperiksaan. Sejujurnya saya tak sangka boleh menang.

“Pada mulanya untuk membaca sajak tak mudah. Cikgu yang banyak mengajar dan saya pun ada tengok video sebagai rujukan.

“Sebenarnya dua minggu lalu saya baru sahaja habis peperiksaan. Saya belum hafal lagi sajak itu. Kali pertama latihan saya tak pandai nak buat intonasi atau nada,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Deklamasi Sajak anjuran Kumpulan Karangkraf bersama Bank Rakyat.

Mengulas lanjut, menurut Jessica, cabaran utama yang dihadapinya ialah memahami setiap maksud perkataan dalam rangkap sajak tersebut.

Ujarnya, selepas mempelajari banyak perkataan baharu, dia semakin lancar berbahasa Melayu dan menambah baik kosa kata sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Saya semakin seronok untuk belajar Bahasa Melayu. Semua bahasa mempunyai keindahan tersendiri.

“Walaupun saya tidak bertutur Bahasa Melayu di rumah, tetapi di sekolah atau bersama-sama rakan saya lebih selesa bercakap dalam bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu, tempat pertama bagi kategori Pertandingan Deklamasi Sajak bagi kategori Sekolah Rendah Swasta berjaya diraih oleh Tengku Nur Athirah Tengku Mohd Syazwan dari Sekolah Sri Al-Amin Keramat, Gombak; tempat kedua dimenangi oleh Abu Ubaidah Ismail dari Sekolah Sri Al-Amin Keramat, Gombak, dan tempat ketiga pula Malika Zayrra Mohan Shahrul Mizan Mohan dari Soleh Integrated Islamic School, Sepang.

Bagi anugerah johan kategori Sekolah Menengah Swasta ialah Muhammad Khairul Hafiz dari Sekolah Menengah Sri AI-Amin,Bangi; naib johan dimenangi Amni Zahra Shaiful Azli dari Sekolah Menengah Sri AI-Amin, manakala Jessica meraih tempat ketiga.

Dalam pada itu, bagi anugerah tempat pertama bagi kategori Tingkatan Enam berjaya dirangkul oleh Siti Hawa Wahyuni Mohamad Tugiman dari, Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tunku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam; tempat kedua, Najia Hazeeqah Ahmad Zairee dari KTE Bandar Utama, Petaling Utama dan tempat ketiga diraih oleh Hasboollah Azman dari KTE Tunku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam.

Karnival Rakyat Karangkraf 2024 mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.

Program dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-18 Sinar Harian itu kini sedang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam sehingga Ahad ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!