Pakai pakaian tradisional moden deklamasi puisi

Datuk Dr Ibrahim Ghaffar
Datuk Dr Ibrahim Ghaffar
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuisi berpakaian tradisional moden untuk mencipta identiti semasa mendeklamasikan puisi bukan sahaja di Malaysia, malah sehingga ke persada dunia.

Pemuisi, Datuk Dr Ibrahim Ghaffar berkata, pemakaian yang selesa dan ringkas tersebut digabungkan antara tradisi serta moden selain boleh dibawa ke mana-mana program formal atau tidak formal.

“Pakaian itu identiti. Saya cuba membentuk identiti saya sebagai pembaca puisi di mana-mana pun. Kalau saya pergi England atau Jepun, memang saya akan berpakaian seperti ini.

“Kalau habis acara, saya boleh buka tengkolok dan gantikan dengan topi. Pakaian seperti ini boleh saja bawa ke mana-mana program.

“Leher cekak musang seperti baju Melayu dan seluar seperti seluar slack. Bahan membuat pakaian ini daripada kain pelekat,” katanya kepada Sinar Harian selepas mendeklamasikan puisi bertajuk Palestina Merawan Kemanusiaan Kita (Tangisan Palestin).

Beliau membaca puisi tersebut di Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, di sini pada Sabtu.

Ibrahim turut menjelaskan secara ringkas mengenai puisi tersebut yang menceritakan penderitaan dan keseksaan masyarakat di Palestin bertahun-tahun lamanya.

Katanya, masyarakat di Palestin merupakan saudara seagama, jadi secara realitinya, umat Islam harus mengetahui yang mereka dibunuh secara kejam.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang cuba saya maksudkan sekarang ini, realitinya mereka dibunuh secara zalim tidak kira umur, maknanya apa yang saya cuba sampaikan melalui puisi, kita kena terima realitinya.

“Kalau kita tidak boleh nak hulur wang ringgit untuk isi tabung, kita doa. Bangun pagi, sujud syukur.

“Lepaskan dahulu amalan kita, kemudian minta saudara di sana dilindungi, yang mati diterima sebagai syahid, diberikan kemerdekaan, mudah-mudahan kita juga akan merasai kegembiraan itu,” tambahnya.

Beliau yang juga menulis puisi mengharapkan generasi baharu kini dapat menikmati bacaan-bacaan yang membawa maksud tersirat itu sebagai ilmu.

“Saya bersyukur dengan adanya Karnival Rakyat ini, masih ada lagi institusi pendidikan yang mengenalkan cara berpuisi kepada pelajar.

“Jadi, program seperti ini perlu diteruskan dan diperbanyakkan bagi memastikan murid sekarang fahami konsep mendeklamasikan puisi,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!