Warga emas pukul, ugut jiran kerana bising ketika memasak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Polis menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan atas dakwaan memukul dan mengugut jirannya kerana bunyi bising ketika memasak dan bau masakan masuk ke rumahnya pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan berhampiran rumahnya di Taman Bertam Jaya di sini kira-kira jam 11.15 pagi.

"Warga emas itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum kes dirujuk Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah," katanya ketika mengesahkan laporan pada Sabtu.

Sementara itu menurut sumber, warga emas itu ditahan selepas polis menerima aduan daripada jirannya lelaki berusia 48 tahun mendakwa lelaki berkenaan telah masuk rumahnya kira-kira jam 7.30 pagi Khamis lalu.

"Suspek kemudian dikatakan telah memukul adik perempuan pengadu menggunakan tangan dengan alasan adik pengadu membuat bising ketika memasak selain bau masakan masuk ke rumahnya.

"Pengadu turut mendakwa dipukul ketika bergelut untuk mempertahankan adiknya itu menyebabkan dia mengalami luka di kaki selain adiknya sakit di belakang kepala," katanya.

Jiran mangsa kemudiannya berjaya menghalang warga emas itu daripada bertindak lebih agresif selain didakwa turut mengugut mahu mengambil parang untuk memotong pengadu dan adiknya itu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!