PKNS Pilih Karnival Kota Puteri meriah, cipta kelainan
KUALA SELANGOR - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Pilih Karnival di Galeri Jualan Hartanah Kota Puteri di sini berlangsung meriah dan mencipta kelainannya tersendiri.
PKNS dalam kenyataannya memaklumkan, siri kedua program itu mengetengahkan beberapa acara sukan rakyat selain pelbagai pengisian menarik untuk seisi keluarga.
Menurut kenyataan itu, karnival itu merupakan langkah strategik PKNS merapatkan hubungan dengan komuniti sambil mempromosikan produk perumahannya kepada umum.
"Dengan menggabungkan elemen hiburan dan sukan rakyat, program ini bukan sahaja menarik minat orang ramai tetapi berpotensi meningkatkan kesedaran serta jualan hartanah PKNS seiring dengan perancangan pembangunan yang akan digerakkan bernilai lebih daripada RM1 bilion tahun ini," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Karnival itu dirasmikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan), Ir Md Kamarzan Md Rais.
Kenyataan itu memaklumkan, pelbagai pengisian program diadakan antaranya acara sukan rakyat seperti pertunjukan layang-layang, tarik tali, tiang licin dan pukul bantal bagi merancakkan lagi suasana dan menarik lebih ramai pengunjung.
Ujar kenyataan itu, pelaksanaan sukan rakyat itu secara tidak langsung dapat memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda agar warisan budaya ini tidak hilang ditelan zaman.
Jelas kenyataan itu, penganjuran karnival yang dijenamakan semula itu adalah kesinambungan daripada program Discover PKNS tahun lalu, yang telah memberi impak positif kepada jenama PKNS dan perbandarannya.
"la terbukti berjaya apabila mendapat sambutan menggalakkan di setiap lokasi penganjurannya sehingga meraih anugerah pilihan pembaca StarProperty (Penerbit Berita Tahunan Mengikut Undian Tertinggi) di StarProperty Awards 2024," tambah kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, PKNS turut menawarkan baucar barangan elektrik jenama Samsung bernilai RM2,000 kepada 10 pembeli projek kediaman Puteri Ariana dan Puteri Ariana 2 di Kota Puteri yang membuat tempahan semasa dua hari program itu berlangsung.
Dalam program itu, PKNS turut 'membawakan' beberapa rakan strategiknya seperti Samsung, Maybank, Bank Islam, Bank Muamalat, Affin Bank dan Bank Simpanan Nasional yang membuka reruai pameran bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan informasi berkaitan pinjaman dan pembiayaan perumahan.
Karnival yang berlangsung bermula dari jam 8 pagi sehingga 11 malam pada hari pertama dan jam 8 pagi hingga 6 petang pada hari kedua itu sarat dengan pelbagai aktiviti untuk semua peringkat umur.
Antara aktiviti itu seperti zumba, food challenge, Games: Minute To Win It, Games: Family Feud, pertunjukan laser, zoo mini, soopa doopa, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, jualan makanan dan kendera saji.
Lebih meriah, karnival itu menampilkan selebriti tanah air antaranya Nuha Bahrin, Ezra Kairo, Zubir Khan dan Azlan Typewriter dalam kini konsert pada Sabtu malam.
Puteri Ariana yang dilancarkan pada Mei 2023 menawarkan 72 unit kediaman dengan keluasan 20' x 70' dan 22' x 75' kaki persegi serta dijual dengan harga bermula daripada RM590,000.
Projek itu menerima anugerah di StarProperty Awards 2024-Real Estate Developer bagi kategori 'The Cornerstone Award - Best Landed Development'.
Pengiktirafan itu secara tidak langsung membuktikan PKNS menitikberatkan kualiti setiap seni bina dan landskap produk hartanah yang dibangunkan supaya diyakini pembeli.
Puteri Ariana 2 yang dilancarkan Mei lalu pula menawarkan 72 unit kediaman dengan dua saiz lot iaitu 20' x 70' dan 24' x 67' kaki persegi dengan harga yang ditawarkan bermula daripada RM688,600.
Kedua-dua projek itu merupakan kediaman rumah teres dua tingkat yang dilengkapi empat bilik tidur serta tiga bilik air.
Terdahulu, PKNS melancarkan PKNS Pilih Karnival sebagai platform untuk mendekati orang ramai di empat pusat perbandarannya menerusi pelbagai aktiviti selain mempromosikan produk-produk PKNS.
Lokasi berikutnya ialah di Antara Gapi pada 24 dan 25 Ogos dan berakhir di Selangor Cyber Valley pada 28 dan 29 September ini.
Layari laman sesawang PKNS di www.pkns.gov.my untuk mendapatkan info lebih lanjut mengenai projek-projek hartanah PKNS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!