Selangor temui semula rentak kemenangan
GERGASI Liga Super, Selangor FC kembali menemui semula rentak kemenangan apabila membelasah Penang FC, 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.
Kemenangan bergaya ke atas skuad Harimau Kumbang kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu juga sebagai tanda penghargaan anak buah Nidzam Jamil kepada penyokong-penyokong setia Red Giants yang sentiasa berada di belakang pasukan tersebut selama ini.
The Red Giants membuka akaun gol perlawanan menerusi sentuhan pemain muda, Mukahiri Ajmal, meletakkan Selangor di depan seawal minit ketiga selepas menyudahkan hantaran Alvin Fortes untuk memimpin separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, Penang meningkatkan serangan menyaksikan pasukan pelawat akhirnya diberikan sepakan penalti selepas kekasaran dilakukan kapten Selangor, Safuwan Baharudin yang disempurnakan Rafael Vitor pada minit ke-64.
Beberapa minit kemudian Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas Ronnie Fernandez dijatuhkan pemain pasukan pelawat yang kemudiannya disempurnakan Yohandry Orozco minit ke-70.
Gol itu ternyata membarakan motivasi pemain-pemain Selangor yang kemudian menambah lagi dua jaringan menerusi Fortes hasil sepakan percuma minit ke-89 sebelum Quentin Cheng mengesahkan tiga mata buat pasukannya dengan gol minit ke-98.
Aksi terakhir liga sebelum ini anak buah Nidzam mencatat kekalahan apabila tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur City FC dalam Derbi Lembah Klang Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.
Tiga mata untuk membolehkan Selangor kembali ke tangga kedua liga dengan 12 mata memintas Sabah FC (10 mata) yang kurang satu perlawanan.
LIGA SUPER 2024/25
KEPUTUSAN
Selangor FC 4-1 Penang FC
Kuala Lumpur City FC 0- 0 Sri Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!