Malaysia terus bawa suara rakyat Palestin ke pentas antarabangsa

Mohamad
Mohamad
A
A
A

VIENTIANE - Malaysia akan terus membawa suara rakyat Palestin ke pentas antarabangsa untuk memberi tekanan terhadap rejim Zionis Israel agar menyokong gencatan senjata dan menoktahkan kezaliman di Gaza, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, usul mengenai kekejaman rejim Zionis telah dibangkit dalam semua mesyuarat - 19 mesyuarat menteri dan sembilan mesyuarat dua hala melibatkan rakan dialog ASEAN sepanjang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM ke-57) dan Mesyuarat Berkaitan.

"Malaysia membawa suara tentang kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Palestin untuk memberi tekanan terhadap rejim Zionis dan Israel supaya menghentikan pembunuhan dan menerima cadangan gencatan senjata secara kekal.

"Kita juga mahu rakyat Palestin dibenarkan pulang ke kampung mereka dan negara Palestin mesti diiktiraf merdeka serta dibenarkan menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya kepada media Malaysia di sini pada Sabtu.

Menurut Mohamad, semasa Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar bersama Setiausaha Luar Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Sabtu, beliau turut membawa suara rakyat Palestin untuk perhatian AS.

"Blinken memperakukan apa yang Malaysia bawa tetapi isunya bagaimana nak jayakan," katanya.

Mohamad berharap Amerika Syarikat memainkan peranan dalam menamatkan isu kekejaman Israel terhadap Palestin dan menyokong gencatan senjata di Gaza.

Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia ke AMM ke-57 sejak Selasa telah mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari negara dialog ASEAN termasuk Australia, China, Kanada, Kesatuan Eropah, India, Norway, Korea Selatan, Turkiye dan United Kingdom (UK).

Artikel Berkaitan:

Semasa pertemuan dengan Setiausaha Luar United Kingdom David Lammy, Mohamad berkata, beliau mendapati terdapat perubahan yang ketara dalam dasar UK yang sebelum ini lantang bersuara untuk membela rejim Zionis dan kini mahu melihat kekejaman Israel ini dihentikan.

Mohamad berkata, Menteri Luar Kanada Melanie Joly turut menyatakan pendirian yang sama dan Kanada bersimpati dengan rakyat Palestin.

"UK dan Kanada juga bersetuju untuk memulihkan sumbangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) untuk membantu rakyat Palestin," katanya.

Pada hari terakhir AMM ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan, Mohamad merakamkan penghargaan dan sokongan kepada kepimpinan Laos atas kejayaan mengadakan AMM ke-57, yang telah meletakkan asas untuk kerjasama dan kemajuan selanjutnya dalam usaha membina Komuniti ASEAN. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!