Olimpik Paris: Pesanan Josiah buat Nurul Izzah
KEKALKAN berada dalam keadaan yang baik dan tajamkan minda.
Itu pesanan bekas atlet Olimpik tiga kali Josiah Ng kepada pelumba basikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Walaupun beliau tidak menjangkakan Nurul Izzah akan berlumba di final, tetapi Josiah masih percaya atlet berusia 20 tahun itu akan berlumba dengan baik di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines selagi menyerapkan dua elemen itu dalam dirinya.
“Ini merupakan Olimpik pertamanya dan dia berada di tempat yang hebat kerana apa sahaja yang dilakukan melebihi jangkaan merupakan kejayaan baginya.
“Jadi Nurul perlu belajar menyerap tekanan dan jika beliau berlumba secara bijak, dia boleh mendapat sedikit tuah dalam acara keirin wanita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selain dari Nurul Izzah yang juga dikenali sebagai The Pocket Rocketwoma', skuad berbasikal trek negara akan menampilkan pemenang dua pingat Olimpik Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Sebagai rekod, acara berbasikal trek akan bermula dari 5 hingga 11 Ogos depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!