Pekerja bunuh bos, sakit hati disindir ketika mahu pinjam wang
MEDAN - Dua orang pekerja nekad membunuh majikannya selepas mereka tersinggung dengan kata-kata mangsa ketika mereka mahu meminjam wang daripadanya.
Kes pembunuhan itu terbongkar selepas ahli keluarga mangsa berasa curiga kerana gagal menghubunginya sebelum mereka menemui mayat lelaki terbabit di rumahnya.
Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis di balai polis Deli Serdang.
Video amatur menunjukkan bagaimana ahli keluarga mangsa menemui mayat lelaki dikenali sebagai Abdullah yang dijumpai sudah mereput di dalam bilik rumahnya di Jalan Makmur, Desa Sumber Jaya Timur, Deli Serdang, Sumatera Utara, beberapa hari selepas gagal menghubunginya.
Ketua Polis Medan Tembung Kompol Jhonsin Mangara Sitompul berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dibunuh oleh dua orang pekerjanya sendiri.
"Dipercayai suspek nekad membunuh majikannya kerana sakit hati atas sindiran mangsa semasa mereka mahu meminjam wang daripadanya.
"Mangsa dibunuh kemudiannya mayatnya dibiarkan busuk di dalam biliknya sebelum ditemui ahli keluarganya," katanya.
Seorang daripada suspek berjaya ditahan manakala rakannya sedang dikesan pihak berkuasa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!