Olimpik Paris 2024: Dua atlet negara tamat perjuangan
HARAPAN dua atlet negara untuk meneruskan cabaran Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 lebur apabila masing-masing terkandas di pusingan kelayakan pada Sabtu.
Penembak negara Johnathan Wong, yang membuat penampilan kedua di Olimpik selepas edisi Rio 2016 merupakan atlet pertama menamatkan cabaran apabila menduduki tempat ke-26 daripada 33 peserta acara 10 meter (m) air pistol lelaki.
Dalam acara berlangsung di Pusat Menembak Chateauroux, Johnathan sekadar mengumpul 570 mata, sekali gus tidak dapat menempatkan namanya dalam kumpulan lapan penembak terbaik untuk mara ke final.
Harapan perenang negara Khiew Hoe Yan untuk melangkah ke final turut tidak kesampaian apabila catatan masa yang direkodkan tidak melepasi had kelayakan.
Atlet berusia 21 tahun itu mencatat 3 minit 51.66 saat (s) pada saringan kedua acara 400m gaya bebas lelaki di Paris La Defense Arena, untuk menduduki tangga ke-27 daripada 37 peserta.
Hoe Yean yang hadir ke Paris dengan hasrat untuk memperbaharui rekod kebangsaan 3:48.36s yang dicatatkan di Kejohanan Australia pada April lepas, terpaksa pulang awal apabila hanya lapan perenang terbaik mara ke final.
Sementara itu, kem badminton negara menghangatkan suasana dingin di kota Paris yang dilanda hujan berterusan, dengan beberapa aksi mendebarkan di Porte de La Chapelle Arena dalam saingan peringkat kumpulan.
Beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit dari kekalahan set pertama kepada beregu di ranking ke-18 dunia, Ben Lane-Sean Vendy dari Great Britain 19-21, 21-16, 21-11 pada aksi Kumpulan A, dan dijangka meraih tiket ke suku akhir apabila bertemu Adam Dong-Nyl Yakura dari Kanada pada Ahad.
Beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut bangkit dari permulaan goyah untuk menewaskan pasangan suami isteri dari Singapura, Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han 23-21, 21-12 pada aksi Kumpulan D dan kemenangan ke atas Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat pada Ahad akan mengesahkan tempat mereka ke suku akhir.
Namun, nasib berbeza buat beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah yang belum cukup hebat untuk menembusi kekebalan pasangan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, tewas 17-21, 20-22 dalam saingan Kumpulan A.
Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu perlu menang dalam perlawanan berdepan beregu nombor enam dunia Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun esok atau berisiko tersingkir awal.
Pada Ahad, pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia membuka kempennya dalam Kumpulan G dan dijangka tidak mengalami masalah ketika berdepan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka.
Selain kem badminton, cabaran kontinjen negara akan diteruskan oleh trio memanah - Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Masyahikh dan Nurul Azreena Mohd Fazil - dalam acara berpasukan wanita menentang Indonesia bagi merebut slot ke suku akhir, manakala perenang muda Tan Rouxin akan beraksi dalam saringan acara 100m kuak dada wanita.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim menasihatkan para atlet yang tersingkir awal supaya tidak patah semangat dan terus berjuang pada kejohanan akan datang.
"Apabila bersaingan di peringkat tertinggi macam ini, kena bersedia hadapi apa jua cabaran. Kita akan terus sokong dan bantu mereka untuk pastikan ada peningkatan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, China melakukan pecutan awal apabila merangkul dua pingat emas pertama edisi kali ini.
Gandingan penembak Huang Yuting, 19, dan Sheng Lihao, 17, menyumbang pingat emas pertama menerusi acara 10m air rifle berpasukan campuran, manakala Chang Yani-Chen Yiwen memastikan China mengekalkan dominasi dalam 3m papan anjal seirama wanita untuk edisi keenam berturut-turut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!