Filem Abang Adik rangkul dua anugerah utama pada Malaysia Golden Global Awards 2024

Pengarah Filem Abang Adik, Jin Ong (depan, dua kanan) bersama Pelakon Filem Adik Abang, Jack Tan (depan, dua kiri) yang menerima anugerah Pembantu Pelakon Terbaik bergambar bersama barisan pemenang Malaysia Golden Global Awards di Auditorium Angkasapuri, malam Sabtu. Foto Bernama
Pengarah Filem Abang Adik, Jin Ong (depan, dua kanan) bersama Pelakon Filem Adik Abang, Jack Tan (depan, dua kiri) yang menerima anugerah Pembantu Pelakon Terbaik bergambar bersama barisan pemenang Malaysia Golden Global Awards di Auditorium Angkasapuri, malam Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

FILEM Abang Adik berjaya merangkul dua anugerah utama pada majlis Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 yang berlangsung di Auditorium Angkasapuri di sini, malam Sabtu.

Filem itu, mengisahkan pahit manis hubungan erat dua anak yatim yang tiada pertalian darah, berjaya meraih Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, masing-masing menerusi lakonan mantap Kangren Wu pelakon dari Taiwan dan Jack Tan dari Malaysia.

Filem sulung arahan penerbit dan pengarah rakyat Malaysia, Jin Ong itu berkisar tentang kehidupan Abang (Wu) yang pekak dan bisu serta Adik (Tan).

Abang dan Adik membesar tanpa keluarga di bawah jagaan jiran Kakak Money (Tan Kim Wang) yang melayan mereka seperti anak kandung bagi memastikan kelangsungan hidup kedua-dua anak yatim ini.

MGGA 2024, yang diadakan sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) edisi ketujuh, turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.

Pelakon wanita terbaik pula digondol oleh pelakon Jerman, Aenne Schwarz menerusi filem Every You, Every Me manakala pelakon wanita pembantu terbaik dimenangi pelakon China iaitu You Junfen (The Great Phuket).

Kategori Filem Terbaik diungguli Every You, Every Me arahan Michael Fetter Nathansky manakala Pengarah Terbaik diraih oleh dua pengarah Iran iaitu Alireza Ghasemi dan Raha Amirfazli melalui filem In The Land Of Brothers.

Turut disampaikan ialah Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat MIFFest kepada pembikin filem Jepun iaitu Hirokazu Kore-eda dan aktres serta penerbit Indonesia Christine Hakim.

Artikel Berkaitan:

Pelakon, penyanyi dan pengarah terkenal Hong Kong, Nick Cheung pula menerima Anugerah Kecemerlangan Dalam Filem. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!