Pasangan kekasih maut nahas empat kenderaan

Kemalangan jalan raya yang membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu pada malam Sabtu.
Kemalangan jalan raya yang membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu pada malam Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pasangan kekasih yang bakal melangsungkan majlis pertunangan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan dekat Jalan Kemajuan di sini, malam Sabtu.

Nahas berlaku kira-kira jam 10.30 malam itu meragut nyawa Muhammad Haniff Idham Mohd Azmi, 24 dan Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Muhammad Haniff Idham yang merupakan peniaga manakala Nurshabirah Izzani bekerja sebagai pembantu jualan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Myvi dinaiki mangsa dilanggar sebuah pacuan empat roda menyebabkan ia terbabas lalu melanggar pokok hiasan.

Perodua Myvi dinaiki mangsa yang maut remuk selepas terlibat dalam nahas jalan raya membabitkan empat buah kenderaan pada malam Sabtu.
Perodua Myvi dinaiki mangsa yang maut remuk selepas terlibat dalam nahas jalan raya membabitkan empat buah kenderaan pada malam Sabtu.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang ketika itu sedang menghala ke Pulau Duyong tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan jenis Toyota Fortuner dinaiki anggota keselamatan.

"Akibat pelanggaran itu kedua-duanya terbabas lalu melanggar pokok hiasan yang berada di tengah pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Selepas itu, sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Range Rover Sport yang sedang bergerak dari arah Gong Badak menghala ke bandar Kuala Terengganu tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan Perodua Myvi dinaiki mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Tidak lama selepas itu, sebuah lagi kenderaan iaitu kereta Proton Saga yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang Range Rover berkenaan," katanya di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pemandu Toyota Fortuner, Syed Abdul Rahman Alkaff Syed Mohamad Anis Alkasa, 28, dan dua penumpang Range Rover, Muhamad Al-Hafiz Anuar, 25, serta Muhamad Rusyaidi Kamaruddin, 31, yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke HSNZ untuk menerima rawatan.

"Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!