Dana syarikat arak: Gerakan jangan angkuh

Jamsari
Jamsari
A
A
A

GEORGE TOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) diingatkan agar lebih rasional dan tidak angkuh dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan larangan syarikat berkaitan arak menyumbang dana kepada pihak sekolah.

Ketua Penerangan Pas Permatang Pauh, Jamsari Samad berkata, garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) jelas menyatakan larangan menerima sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil.

Beliau mempersoalkan adakah arahan yang semudah itu gagal difahami oleh Gerakan atau parti itu ingin menjadi seperti DAP yang semasa dalam Pakatan Rakyat bersikap sombong dan angkuh yang menyebabkan Pas memutuskan hubungan.

"Pas mengingatkan Gerakan supaya memahami larangan syarikat berkaitan syarikat arak untuk menyumbang dana kepada pihak sekolah yang telah jelas dan wajib dipatuhi oleh semua sekolah.

"Meskipun kenyataan berkenaan larangan itu telah dibuat KPM, namun Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai masih mahu mempertahankan amalan itu yang dikatakan biasa bagi menampung perbelanjaan pihak sekolah.

"Apakah tidak boleh menggunakan sumbangan syarikat selain arak dan perjudian untuk kutipan dana sekolah?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Jamsari menyeru rakan-rakan dalam Gerakan agar lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan serta lebih efektif dan bekerja keras untuk meraih undi masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang daripada cuba mahu menjadi hero dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, di peringkat sekolah sepatutnya anak-anak dididik dengan kesan keburukan arak yang boleh mengakibatkan banyak musibah daripada kebaikan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan kenyataan Dominic yang senada dengan DAP supaya syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang untuk memberi dana kepada sekolah aliran Cina.

Beliau mendakwa, ini kerana sekolah aliran Cina selama ini tidak diberikan dana mencukupi oleh kerajaan Pusat untuk beroperasi.

Jelas beliau, segala fasiliti dan kemudahan yang disifatkan terbaik yang dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini adalah hasil sumbangan dana pihak luar bukan sahaja daripada syarikat-syarikat besar, malah golongan peniaga kecil dan penjaja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!