KDN FC janji ambil tindakan
KEKALAHAN Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dengan Perak FC 1-3 dalam saingan Liga Super 2024/25 di Kota Bharu akan dikaji lebih mendalam jika ada yang memerlukan tindakan drastik.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, pengurusan bola sepak itu akan mengambil langkah lebih tegas demi bola sepak negeri Kelantan.
Menurut beliau, pihaknya akan melakukan beberapa perubahan dengan segera selepas melihat kepada situasi selain memahami keluhan penyokong setia yang menuntut perubahan segera pasukan itu.
"KDN FC akan mengubah beberapa perkara sementara menanti perpindahan kedua Liga Malaysia pada September depan.
"Ia sebagai langkah permulaan kerana mereka akan menghadapi tiga perlawanan getir pada awal Ogos ini," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Rozi juga memaklumkan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan berjanji akan mengubah beberapa perkara sebelum perlawanan seterusnya.
"Kita ada perubahan besar pada jendela perpindahan kedua dibuka September nanti," katanya.
Mengulas lanjut, Rozi memberitahu, selepas banyak perubahan yang dilakukan pengurusan terutama dalam memastikan kebajikan pasukan terjaga, mereka seharusnya sedar dengan tanggungjawab kepada kelab serta nama negeri Kelantan itu sendiri.
“Ada baki tiga perlawanan akan berlangsung sebelum perpindahan kedua dibuka. Mulai sekarang saya ada beberapa langkah awal yang akan dilakukan apabila tiba masanya demi nama kelab serta negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!