RM14 juta untuk Pasar Pasir Pinji

Kor Ming (tiga dari kiri) mendengar taklimat ringkas berkaitan reka bentuk pembangunan semula Pasar Pasir Pinji.
Kor Ming (tiga dari kiri) mendengar taklimat ringkas berkaitan reka bentuk pembangunan semula Pasar Pasir Pinji.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM14 juta bagi pembinaan semula Pasar Pasir Pinji yang telah uzur berusia lebih 50 tahun.

Menteri, Nga Kor Ming berkata, projek yang memberi manfaat kepada 214 peniaga itu akan memulakan kerja-kerja pembangunan tahun ini dan dijangka siap menjelang 2027.

Pasar Sementara Pasir Pinji dibuka bagi menempatkan peniaga sehingga projek bina semula pasar siap sepenuhnya dijangka pada 2027.
Pasar Sementara Pasir Pinji dibuka bagi menempatkan peniaga sehingga projek bina semula pasar siap sepenuhnya dijangka pada 2027.

Menurutnya, buat masa ini, reka bentuk bangunan pasar awam berkenaan telah siap dan hanya menunggu proses pemilihan kontraktor melalui tender terbuka yang ditutup pada 4 Ogos depan.

"Pasar Pasir Pinji adalah contoh teladan yang baik dan merupakan kejayaan terhadap dasar yang dilaksanakan kerajaan Madani.

"Bukan sahaja dibangunkan dengan beberapa ciri baharu sebagai green market, tetapi pembangunannya nanti berpotensi sebagai destinasi tarikan pelancongan dan menjadi kebanggaan warga Ipoh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Sementara Pasir Pinji di sini pada Ahad.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How.

Kor Ming (dua dari kanan) ketika meninjau operasi Pasar Sementara Pasir Pinji pada Ahad.
Kor Ming (dua dari kanan) ketika meninjau operasi Pasar Sementara Pasir Pinji pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, semua peniaga di Pasar Pasir Pinji ditempatkan di tapak sementara yang dibina dengan kos RM1.48 juta bermula 1 Julai lepas sehingga projek bina semula siap sepenuhnya.

Kor Ming berkata, sebagai kesinambungan projek, KPKT turut berhasrat untuk membangunkan semula dua pasar lama di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) iaitu di Menglembu dan Buntong.

Bagaimanapun katanya, proses berkenaan perlu melibatkan konsultasi dan perbincangan bersama penjaja dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Untuk Pasar Pasir Pinji ini pun kita ambil masa tiga tahun lakukan libat urus dengan peniaga, mula-mula memang kena marah tetapi sekarang apabila dapat rasakan perubahan, mereka rasa bangga.

"Jadi kita boleh gunakan model yang sama untuk pujuk dan yakinkan peniaga-peniaga di pasar Menglembu dan Buntong," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!