Kerajaan akan laksanakan pembenihan awan di Perak, Kedah

Operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di Perak dan Kedah pada 29 hingga 31 Julai ini untuk meningkatkan paras air empangan.
Operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di Perak dan Kedah pada 29 hingga 31 Julai ini untuk meningkatkan paras air empangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di negeri Perak dan Kedah pada 29 hingga 31 Julai ini untuk meningkatkan paras air Empangan Bukit Merah dan Empangan Muda bagi tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, OPA dilaksanakan atas permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, pelaksanaan OPA adalah salah satu daripada usaha kerajaan untuk menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September depan.

"MetMalaysia menjangkakan taburan hujan di negeri Kedah dan Perak yang rendah sehingga September ini manakala bekalan air dari Empangan Muda dialirkan ke Empangan Pedu bagi keperluan domestik, industri dan pengairan padi (Musim 1/2024).

"Semasa permulaan musim tanaman padi di sekitar Sungai Muda akan berlaku konflik di antara keperluan domestik, industri dengan pengairan padi. Keutamaan akan diberikan kepada keperluan domestik dan industri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Ahmad Zahid, kekurangan turunan hujan akan mengakibatkan takungan simpanan terus menyusut seterusnya tidak dapat menampung keperluan untuk jangka masa panjang.

"Tanaman padi kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia dengan keluasan 100,641.19 hektar (81,606.66 hektar di Kedah, 19,034.53 hektar di Perlis).

"Manakala kawasan tanaman padi di Kerian yang menerima sumber air dari Empangan Bukit Merah pula merupakan jelapang padi ketiga terbesar di Malaysia dengan keluasan 20,326 hektar," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, menurut laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada 26 Julai lalu, peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus manakala Empangan Bukit Merah adalah 15.25 peratus.

"Operasi ini akan dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut. Selaku Pengerusi Bencana Pusat, saya bersetuju bahawa pelaksanaan OPA ini dibuat bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!