54 ahli Rumah Ngaji imbau kenangan alam persekolahan
KAMPAR - Seramai 54 peserta Rumah Ngaji Pertubuhan Halaqah Mukminah di sini memilih memakai seragam sekolah bagi mengimbau kembali kenangan yang telah lama ditinggalkan.
Pengerusinya, Rashidah Mat Ali berkata, tema itu dipilih bagi mengeratkan silaturrahim dalam kalangan ahli disamping aktiviti menyemarakkan majlis ilmu yang saban minggu dilaksanakan.
"Selepas 15 tahun pertubuhan kami diwujudkan, inilah pertama kali majlis seumpama ini diadakan bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli.
"Lebih tiga dekad meninggalkan alam persekolahan, majlis ini sudah tentu dapat mengimbau kenangan dalam kalangan ahli berusia 40 hingga 80 tahun dengan menyarung kembali seragam biru putih," katanya.
Majlis Mengimbau Kenangan di Zaman Persekolahan itu turut diserikan dengan kehadiran Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim dan bekas Exco Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Menurutnya, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk persembahan koir, sajak, syair dan nyanyian kumpulan nasyid.
"Aktiviti Rumah Ngaji kami akan sentiasa bergerak aktif untuk memartabatkan al-Quran untuk dijadikan bacaan harian disamping marbahan, bacaan Yasin dan majlis ilmu lain.
"Rumah Ngaji merupakan platform untuk mempelajari dan menguasai bacaan al-Quran serta mempraktikkan ilmu yang dipelajari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!