[VIDEO] 'Geng Potek' tumpas, lelaki bersama tiga anak saudara antara ditahan
KOTA TINGGI - Polis menumpaskan 'Geng Potek' yang dipercayai terlibat aktiviti pengedaran dan pembungkusan semula dadah apabila menahan lapan individu termasuk ketua dan tiga anak saudaranya dalam serbuan di sebuah rumah usang di Sungai Papan di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, serbuan dibuat sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJ) Daerah Kota pada jam 3.40 pagi, turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM54,550.20.
"Dalam serbuan tersebut polis menahan tujuh lelaki tempatan berusia 19 sehingga 51 tahun dan seorang wanita berusia 22 tahun yang juga merupakan teman wanita kepada ketua Geng Potek yang berusia 51 tahun.
"Selain itu, mereka yang ditahan termasuk tiga lelaki yang merupakan adik-beradik berusia 19, 23 dan 25 tahun.
"Kita turut merampas beberapa jenis dadah dengan berat hampir satu kilogram melibatkan 415.25 gram ketulan heroin, ketulan kristal methamphetamine (123.46 gram), pil eramin 5 (8.27 gram), pil ekstasi (225.49 gram), ketamin (1.12 gram) dan 5.47 gram ganja yang boleh digunakan 6,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini, pada Ahad.
Hussin berkata, polis turut menyita dua kereta dan sebuah motosikal dipercayai milik suspek selain merampas wang tunai berjumlah RM5,023.
Menurutnya, jumlah nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM84,573.
"Hasil saringan air kencing mendapati tujuh suspek positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan mendapati lima daripadanya mempunyai rekod jenayah dan dadah.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.
Sementara itu, Hussin berkata, modus operandi geng tersebut adalah dengan menjadikan rumah di muara sungai berkenaan sebagai tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan terutamanya di kawasan Felda.
Katanya, kegiatan geng itu dipercayai aktif sejak Mei lalu dan pihaknya percaya masih ada lagi anggota geng terbabit yang masih bebas.
"Rumah papan kosong yang didirikan ahli sindiket untuk bungkus dan hisap dadah. Maklumat awam dan risikan dilakukan sejak dua bulan lalu.
"Mereka bungkus menggunakan plastik serupa makanan ringan, dadah. Kita percaya ada lagi rangkaian mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!