Aspek keselamatan pusat tahfiz perlu dititikberat - Lam Thye

Ikatan chairman Tan Sri Lee Lam Thye - FILE PIX
Ikatan chairman Tan Sri Lee Lam Thye - FILE PIX
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan Komuniti Selamat melahirkan kebimbangan apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya mengeluarkan sebanyak 639 notis keselamatan kepada pusat tahfiz di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, data perangkaan yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan mendapati majoriti pusat tahfiz di negara ini terdedah dengan masalah kebakaran yang serius termasuk tahfiz yang berdaftar atau tidak berdaftar.

Menurutnya, berdasarkan data itu juga sebanyak 1,434 pusat tahfiz yang telah dinilai aspek keselamatannya, namun daripada jumlah itu 209 pusat tahfiz dinilai sebagai tidak mematuhi aspek keselamatan sesebuah bangunan.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh pihak bomba mendapati terdapat kelemahan sistem pendawaian yang tidak sempurna selain tiada alat pemadam api dan hanya terdapat satu pintu keluar jika berlakunya kecemasan di pusat tahfiz berkenaan.

"Notis yang dikeluarkan merangkumi aspek kurang kesiapsiagaan menghadapi kebakaran dan risiko untuk maut sekiranya berlaku kebakaran.

"Isu keselamatan di pusat tahfiz yang melahirkan agamawan ini perlu diberi perhatian yang wajar dan menyeru setiap isu keselamatan ini mula dititikberatkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Ujar beliau, antara faktor lain yang mendorong risiko kebakaran termasuk tiada pegawai atau guru yang berpengetahuan, berpengalaman dan berkemahiran bagi mengurus keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Menurutnya, oleh itu kerajaan disarankan agar memberi sedikit peruntukan dana bagi membantu berkaitan penambahbaikan fasiliti premis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan di premis-premis ini dengan menambah baik kemudahan yang ada.

"Diharapkan supaya bomba dapat membantu melaksanakan pemeriksaan premis menepati piawaian keselamatan yang lebih baik dan kurang risiko dalam menghadapi isu kebakaran.

"Selain itu, berharap latihan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan (OSHC) kepada guru-guru mahupun staf yang bersesuaian dengan peruntukan pindaan AKKP," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!