Pengunjung serbu Fiesta Kucing Tomkraf seawal jam 8 pagi
SHAH ALAM - Fiesta Kucing Tomkraf yang julung kalinya diadakan sempena Karnival Rakyat Karangkraf bermula Jumaat lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Selain pelbagai aktiviti berkaitan haiwan peliharaan itu seperti kucing angkat, dandanan dan pertandingan pakaian diadakan, fiesta itu juga turut mempromosikan makanan kucing buatan Malaysia iaitu Tomkraf.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Tomkraf, Nurul Husna Azmi berkata, orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat mula mengunjungi Fiesta Kucing seawal jam 8 pagi.
"Ramai yang datang bawa kucing masing-masing untuk melakukan vaksinasi, pembersihan dan juga tidak melepaskan peluang mendapatkan nasihat daripada pakar mengenai penjagaan haiwan peliharaan.
"Ini kerana kami telah mengadakan kolaborasi bersama golongan profesional seperti pusat perlindungan, doktor veterinar serta pengusaha spa kucing," katanya kepada Sinar Harian.
Karnival Rakyat Karangkraf 2024 diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam itu, mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.
Ia diadakan selama tiga hari bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
Karnival itu turut memberikan peluang kepada pengunjung untuk memenangi motosikal dan pakej umrah dalam sesi cabutan bertuah.
Tambah Nurul Husna, pihaknya percaya menerusi kucing angkat itu akan lebih banyak kucing terbiar dapat diselamatkan seiring dengan kempen Tomkraf satu rumah satu kucing.
"Alhamdulillah, setiap hari akan ada keluarga yang mengambil kucing ini sebagai keluarga angkat. Walaupun dilakukan secara percuma, individu berkenaan perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.
"Kucing ini sebenarnya kucing jalanan yang diselamatkan tetapi ada di antaranya telah divaksin dan dimandulkan," jelasnya.
Beliau turut berpendapat fiesta ini perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada orang ramai malah mampu menyelamatkan kucing terbiar.
Ditanya mengenai produk Tomkraf, beliau memberitahu, ia merupakan keluaran Kumpulan Karangkraf dan menawarkan harga mampu milik kepada peminat kucing.
"Selain itu, makanan kucing Tomkraf mengandungi 31.5 peratus protein, tiada garam tambahan dan pewarna. Mereka yang berminat boleh mendapatkannya di platform TikTok Shop Tomkraf," ujarya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!