Ambil iktibar kekalahan UMNO dalam PRU 2018 - Onn Hafiz
KLUANG - Kekalahan UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) pada 2018 perlu dijadikan iktibar dan inspirasi untuk bangkit.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, semua pihak dalam parti perlu sedar dan insaf dengan kekalahan yang berlaku itu.
"Pada ketika itu UMNO seperti kehilangan maruah malah wakil rakyat yang mewakili parti keramat orang Melayu ini dihina dan dicerca dengan pelbagai tanggapan.
"Oleh yang demikian, selepas diberikan kepercayaan semula oleh rakyat negeri ini, sebagai wakil rakyat jangan sesekali alpa untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi," ujar Menteri Besar Johor itu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di sini, pada Ahad.
Onn Hafiz juga mengingatkan wakil rakyat UMNO supaya tidak bermegah-megah kerana jawatan itu adalah satu amanah kepada pengundi yang memilih mereka.
"Dah jadi wakil rakyat, jangan angkuh dan sombong, ambil cakna setiap apa yang disuarakan oleh rakyat," katanya.
Selain itu beliau juga mengingatkan ahli-ahli UMNO untuk tidak lari daripada asas perjuangan parti yang dilahirkan di istana Johor dengan tujuan utama untuk menyatukan orang-orang Melayu.
Onn Hafiz mengajak semua ahli dan pemimpin UMNO untuk merapatkan saf dan bergerak sebagai satu pasukan untuk mengangkat semula martabat parti.
"Jadikanlah apa yang berlaku sebelum ini sebagai sempadan untuk kita tidak mengulangi kesilapan lama sedangkan rakyat terus memberikan harapan kepada kita menjadi pelindung mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!