Raja Belgium akhirnya mengaku bapa kandung Delphine Boel

Ujian DNA membuktikan Boel adalah anak kandung kepada Albert. - Foto Agensi
Ujian DNA membuktikan Boel adalah anak kandung kepada Albert. - Foto Agensi
A
A
A

BRUSSELS - Bekas pemerintah Belgium, Raja Albert II semalam akhirnya mengaku baginda adalah bapa kandung kepada anak perempuan yang dilahirkan setengah abad lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas ujian DNA yang dilakukan baginda mengesahkan perkara tersebut.

Peguamnya dalam satu kenyataan memberitahu mengakui keputusan ujian paterniti saintifik terbabit yang membuktikan baginda adalah bapa kandung kepada artis tempatan, Delphine Boel.

"Baginda belum membuat sebarang keputusan tentang kedudukan wanita terbabit," ujarnya.

Marc Uyttendaele, peguam mewakili Boel dalam satu kenyataan bagaimanapun menegaskan anak guamnya mempunyai hak sebagai pewaris diraja kerana beliau adalah anak kandung sah seperti anak Albert yang lain.

"Boel kini dapat menarik nafas lega selepas pengakuan baginda. Selama ini, kehidupan beliau seperti berdepan mimpi ngeri kerana tuntutan identitinya itu," katanya.

Albert, 85, telah beberapa kali menafikan baginda adalah bapa kandung kepada Boel, 51, yang membuat tuntutan itu sejak dua dekad lalu sebelum wanita tersebut mengemukakan kes terbabit kepada mahkamah.

Pada Mei tahun lalu, baginda bersetuju untuk melakukan ujian DNA untuk menyelesaikan kes tersebut selepas sebuah mahkamah di Brussels mengenakan denda 5,000 Euro (RM22,504) sehari jika gagal berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Boel mendedahkan ibunya, Sybille de Selys Longchamps, seorang bangsawan mempunyai hubungan sulit bersama Albert antara 1966 dan 1984.

Wanita itu kemudiannya dibesarkan Jacques Boel, namun memenangi kes mahkamah yang memutuskan lelaki tersebut bukan bapa kandungnya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!