Tiada keperluan Aiman Athirah lepaskan jawatan - AWAN Kedah
ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk menggesa Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Sepang dan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN).
Ketua AWAN Kedah, Siti Balkhis Husain berkata, gesaan tersebut adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti sebenar.
Menurutnya, Aiman Athirah telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan integriti berbanding isu yang dibangkitkan hanya berdasarkan kekeliruan yang tidak disengajakan.
“Meminta beliau melepaskan jawatan tidak mencerminkan keseluruhan sumbangan beliau terhadap masyarakat dan negara.
“Berhubung insiden memegang replika cek bertulis logo minuman keras adalah suatu kekhilafan yang telah diperjelaskan dan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mendesak peletakan jawatan,” katanya di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Aiman Athirah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Sepang dan Ketua AWAN.
Ia susulan kehadiran pemimpin itu pada majlis dianjurkan sebuah sekolah vernakular bagi tujuan mengumpul dana persekolahan yang turut membabitkan penajaan daripada syarikat arak.
Maszlee menyifatkan kehadiran Aiman Athirah pada majlis seumpama itu satu insiden memalukan dan menjatuhkan imej Parti Amanah Negara (Amanah) dan rakyat Parlimen Sepang yang memilihnya.
Aiman Atirah sebelum ini telah pun meminta maaf sekiranya ada pihak yang sensitif dengan gambar beliau memegang replika cek berlogo syarikat arak dalam majlis sumbangan di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Dalam pada itu, Siti Balkhis turut kesal dengan dakwaan dilemparkan terhadap Aiman Atirah bahawa beliau terlibat dalam mempromosikan arak di sekolah.
“Tuduhan ini juga tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Kami menolak dakwaan tersebut dan menegaskan sistem pendidikan kita tidak membenarkan sebarang bentuk promosi yang bertentangan dengan nilai moral dan etika.
“Malah Aiman Athirah telah banyak berjasa dalam memperjuangkan hak-hak wanita dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Ketua AWAN nasional itu sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan rakyat dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Sebarang kritikan perlu dilontarkan secara konstruktif dan berlandaskan fakta tepat, bukan berdasarkan tuduhan tidak berasas.
“Kami hargai pandangan dan kritikan membina, namun adalah penting untuk memastikan fakta tepat dan adil sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Tindakan tergesa-gesa hanya akan merosakkan imej dan kredibiliti seseorang tanpa justifikasi kukuh. Sebagai pemimpin, kita perlu bersatu padu menghadapi cabaran dan bukannya menjatuhkan satu sama lain,” jelasnya.
Sehubungan itu, AWAN Kedah berdiri teguh bersama kepimpinan Aiman Athirah dan akan terus menyokong beliau dalam menjalankan tugas dan amanah diberikan.
“Marilah kita sama-sama fokus kepada usaha memperkukuhkan perpaduan dan pembangunan negara dengan semangat yang positif dan konstruktif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!