Sumbangan syarikat arak: PM perlu bertegas hentikan polemik

Azmi
Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendirian tegas bagi menghentikan polemik yang berlaku berhubung isu sumbangan dana syarikat minuman keras yang dibawa masuk ke dalam institusi pendidikan.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan berkata, langkah itu wajar diambil berikutan tindakan beberapa pemimpin parti politik dalam kerajaan berbalas kritikan secara terbuka yang dikhuatiri membuka ruang polemik baharu dalam perkara itu.

Menurutnya, tindakan berbalas teguran berkisar kepada sesuatu tindakan yang telah jelas bercanggah dengan polisi atau dasar kerajaan merupakan satu perkembangan tidak baik.

"Ketidaksefahaman dalam hal ini tiada masalah tetapi apabila mengkritik secara terbuka, ia membuka satu ruang polemik yang baharu.

"Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat telah 'bersuara' tetapi mungkin tidak cukup kuat. Dalam hal ini Perdana Menteri sepatutnya mengambil tindakan tegas untuk hentikan polemik yang berlaku.

"Beliau perlu menyatakan dengan jelas apa yang boleh dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan supaya tidak wujud percanggahan dalam kalangan kepimpinan kerajaan sendiri berhubung perkara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa isu tersebut sepatutnya tidak menjadi polemik kerana polisi kerajaan secara jelas tidak membolehkan pihak sekolah berurusan atau menerima dana daripada syarikat pengeluar minuman keras atau perjudian.

"Tujuan larangan ini bersifat murni kerana kita tidak mahu anak-anak kita terdedah kepada unsur-unsur yang tidak baik. Ia bukan sahaja ditegah dalam Islam tetapi juga agama lain kerana melibatkan tatasusila bangsa, budaya dan seumpamanya.

Artikel Berkaitan:

"Tiada (pihak) yang boleh dikecualikan dalam hal ini walaupun melibatkan penajaan artis untuk kutipan derma kerana ia daripada sumber syarikat minuman keras.

"Ia sebenarnya bukan sahaja melampaui kehendak agama bahkan melampaui kehendak bangsa, nilai budaya dan individu kekeluargaan seseorang tidak kira apa juga bangsa atau suku kaum mereka," ujarnya.

Sebelum ini, program menerusi sebuah konsert amal pendidikan yang diadakan bagi kutipan dana membina dewan sebuah sekolah menjadi kontroversi apabila dikatakan turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

KPM melalui Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut, selain turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Kenyataan Fadhlina mendapat maklumbalas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mengkritik beliau supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana dan pendidikan sekolah Cina.

Bagaimanapun, Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mempertahankan kenyataan Fadhlina serta menegaskan bahawa polisi itu diwujudkan bagi menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!