KPKT sasar lencong 40 peratus sisa pepejal

Aiman Athirah (tengah) melancarkan PKKB di Taman Putra Perdana Puchong pada Ahad.
Aiman Athirah (tengah) melancarkan PKKB di Taman Putra Perdana Puchong pada Ahad.
A
A
A

PUCHONG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan lencongan sebanyak 40 peratus sisa pepejal dari tapak pelupusan sampah menjelang tahun 2025.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Program Karnival Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) bagi mengurangkan penjanaan sisa secara signifikan melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula.

"Sasaran ini bertujuan untuk mengurangkan tapak pelupusan dalam negara supaya boleh memanjangkan hayat pusat pelupusan sampah sedia ada.

"Ketika ini sebanyak 38,000 tan sisa sampah dihasilkan sehari dan kita jangka dapat lencongkan kira-kira 5.6 juta tan sisa sampah setahun menjelang 2025," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan PKKB Karnival Komuniti Madani di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, kadar kitar semula juga dianggarkan 37.5 peratus tahun ini, iaitu meningkat 2.5 peratus dari tahun lalu.

Justeru, Ahli Parlimen Sepang itu berharap semua pihak akan turut bersama menggembleng tenaga dan usaha dalam memastikan matlamat kerajaan tercapai.

"PKKB adalah manifestasi nyata dari prinsip 'Sepang Maju Bermaruah' dan melalui inisiatif ini, kita mempromosikan gaya hidup lestari dan kesedaran alam sekitar dalam komuniti.

"Dengan menyokong PKKB dan Kosis (Komuniti Sifar Sisa), kita menggalakkan gaya hidup sihat dan kesejahteraan komuniti, memastikan kemajuan dicapai inklusif dan seimbang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Aiman Athirah, ketika ini sebanyak 456,416 kilogram (kg) barangan kitar semula bernilai RM138,505 berjaya dikumpul dan dijual menerusi program Kosis yang berlangsung antara 2020 hingga tahun lalu.

Program yang dilaksanakan di 17 projek perumahan rakyat (PPR) seluruh negara itu berjaya mengumpul dan menjual 46,056.33 kg minyak masak terpakai bernilai RM144,188 dalam tempoh sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, pihaknya melaksanakan pemerkasaan amalan 3R (reduce, reuse, recycle) termasuk memperkenalkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu dan (DTRC).

"Inisiatif penyediaan DTRC seiring hala tuju Dasar Kebersihan Negara untuk memudahkan masyarakat menghantar barangan kitar semula yang telah diasingkan.

"Ia juga mampu menggalakkan orang ramai membudayakan amalan kitar semula bagi menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang 2025," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!