Aiman Athirah tidak mahu layan kritikan

Aiman Athirah
Aiman Athirah
A
A
A

PUCHONG - Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu tidak mahu melayan sebarang kritikan yang dilemparkan kepadanya.

Sebaliknya Ahli Parlimen Sepang itu menegaskan, beliau mahu terus bergerak maju ke hadapan dan menumpukan kepada kerja serta berkhidmat untuk rakyat.

"Saya telah menyatakan permohonan maaf seandainya saya melakukan kekhilafan.

“Di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kita ada banyak kerja lagi dan menjadi keutamaan saya memberi perkhidmatan terbaik selaku Timbalan Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Maszlee Malik agar beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Sepang dan Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah).

Aiman Athirah menjadi tumpuan susulan hadir pada majlis yang dianjurkan sebuah sekolah vernakular bagi tujuan mengumpul dana persekolahan yang turut membabitkan penajaan daripada syarikat arak.

Rentetan itu, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan dilapor berkata, kehadiran Aiman Athirah pada majlis seumpama itu satu insiden memalukan dan menjatuhkan imej Amanah dan rakyat Parlimen Sepang yang memilihnya.

Terdahulu, Aiman Athirah menyempurnakan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) Karnival Komuniti Madani di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, Puchong.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, KPKT adalah satu kementerian besar yang memerlukan penyantunan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

“Justeru saya tidak mahu terus terheret dengan perkara yang tiada isu besar.

“Tanya dialah (Maszlee). Saya mahu fokus kepada kerja dan tugas sebagai Ahli Parlimen Sepang,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!