Beri kebebasan kepada sekolah Cina pilih rakan kongsi - Gerakan

Wendy
Wendy
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tetap dengan pendirian serta mahukan Kerajaan Perpaduan melonggarkan garis panduan dan membenarkan sekolah-sekolah Cina bebas memilih rakan kongsi dalam menganjurkan aktiviti.

Ia berikutan kontroversi mengenai tajaan syarikat luar kepada sekolah termasuk sumbangan daripada syarikat minuman keras seperti yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam menegaskan, apa yang lebih penting adalah pendidikan untuk anak-anak di sekolah dan selagi bantuan tersebut tidak mengganggu pelajaran maka tidak salah kepada mana-mana sumbangan memasuki sekolah.

Menurutnya, sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina terpaksa mengumpul dana sendiri disebabkan oleh peruntukan yang kurang mencukupi daripada pihak kerajaan selain menampung keperluan perbelanjaan pembangunan yang diperlukan.

"Kita sedar ahli-ahli parti komponen Perikatan Nasional (PN) mempunyai pandangan berbeza terhadap pendirian Gerakan dalam isu ini.

"Disebabkan itu Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai memutuskan untuk membawa perkara ini ke mesyuarat pimpinan tertinggi PN dan bukannya membuat kenyataan sembarangan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, dalam perbezaan pandangan tidak sepatutnya ada pihak yang cuba mengapi-apikan persefahaman dalam kalangan parti komponen PN.

Bagaimanapun katanya, sekiranya terdapat perbezaan dalam kalangan rakan komponen seharusnya perkara itu perlu diselesaikan di meja rundingan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Wendy berkata, Gerakan menghormati pendirian politik dan perjuangan Pas sekiranya parti itu mungkin tidak akan bersama dengan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 seperti yang dinyatakan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini.

Tetapi katanya, beliau percaya Pas akan menghormati Malaysia sebagai negara berbilang kaum, di mana setiap kaum harus saling memahami dan menghormati hak masing-masing.

"Kami percaya hanya dengan perpaduan kita dapat mencapai kemakmuran bersama.

"Mana-mana parti yang ingin memenangi kuasa pusat harus mendapatkan sokongan pengundi daripada semua kaum dan menerima hakikat pembentukan masyarakat majmuk.

"PN dari mulanya mengamalkan persefahaman kolektif dan kami percaya perdebatan ini mempunyai asasnya tersendiri," katanya lagi.

Beliau berpendapat, kenyataan Ahmad Fadhli sebelum ini adalah kenyataan peribadi beliau namun pandangan itu tetap dihormati.

Bagaimanapun katanya, Gerakan juga mempunyai pandangan sendiri untuk diketengahkan.

"Tidak dapat dielakkan bahawa parti-parti komponen akan mempunyai pandangan berbeza mengenai beberapa isu, dasar, atau kejadian, tetapi akhirnya, perkara tersebut harus dibincangkan dalam pimpinan tertinggi PN untuk mencari titik persamaan yang boleh diterima oleh semua," ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!