BN, UMNO perlu kerja keras tangkis persepsi negatif terhadap parti
BAGAN DATUK - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu bekerja keras bagi menangani persepsi negatif yang dilempar musuh politiknya terhadap parti itu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu berkata, jika persepsi berkenaan tidak ditangani, ditangkis dan diperjelaskan ia akan terus melekat di minda rakyat.
"Kita belajar daripada pengalaman dalam PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), bahawa persepsi sengaja dilempar sebagai satu propaganda, bukan hanya untuk menjatuhkan seseorang itu dari politik malah parti yang dipimpinnya, inilah yang berlaku kepada BN dan UMNO,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk 2024 di sini pada Ahad.
Ahmad Zahid berkata, ahli UMNO perlu menularkan gambaran sebenar mengenai apa yang dilakukan oleh parti itu, kerana penerimaan rakyat terutama netizen terhadap parti itu bergantung kepada berapa banyak persepsi yang sampai kepada mereka.
"Jika negatif (persepsi) yang banyak dilempar, maka negatiflah yang akan menguasai minda dan jiwa netizen terutama mereka yang anti pembangunan,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menyeru ahli untuk menggunakan kuasa media sosial secara sepenuhnya, kerana tidak dapat dinafikan teknologi maklumat memberikan impak lebh besar kepada masyakat terutama netizen.
Malah Ahmad Zahid berkata ketika ini, persepsi negatif bukan perlu diurus hanya oleh BN dan UMNO malah parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, supaya persepsi negatif boleh diubah menjadi positif.
Beliau malah berkata tiada sebarang perubahan sejak PRU lalu, yang persepsi negatif terus dilemparkan oleh seteru politik yang menanam kebencian dan prasangka buruk terhadap pemimpin dan kerajaan.
"Justeru kita tidak boleh mengharapkan pihak lain mengubahnya untuk kita, melainkan kita dalam parti komponen dalam kerajaan," katanya.
Pada majlis sama Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan dan sijil penghargaan kepada 83 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia di Parlimen Bagan Datuk. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!