Ombak besar, feri dari Langkawi ke Kuala Kedah patah balik

Feri membawa 259 penumpang itu berlayar pada jam 12.30 tengah hari dari Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi.
Feri membawa 259 penumpang itu berlayar pada jam 12.30 tengah hari dari Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah feri dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Kedah terpaksa berpatah balik selepas 25 minit berlayar berikutan ombak setinggi 4 meter (m) pada Ahad.

Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, feri membawa 259 penumpang itu berlayar pada jam 12.30 tengah hari dari Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi.

Bagaimanapun, beliau berkata, feri itu terpaksa berpatah balik pada jam 12.55 petang berikutan ombak kuat melanda.

"Ketika itu, feri itu berada pada kedudukan 15 batu nautika dari Pulau Langkawi akibat laut bergelora dan cuaca buruk.

"Susulan itu, kami memutuskan untuk feri kembali ke Pulau Langkawi kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko demi keselamatan penumpang," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau memaklumkan, setakat ini, status penumpang dalam feri belum dapat diputuskan memandangkan feri itu masih dalam perjalanan berpatah balik ke Jeti Langkawi.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd terpaksa membatalkan beberapa trip laluan dari Pulau Langkawi menuju Kuala Kedah dan Kuala Kedah menuju Pulau Langkawi berikutan cuaca buruk pada Sabtu.

Pengurus Operasinya, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, ia berikutan ketinggian ombak lebih kurang 4.0 meter (m) di laut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kadar kelajuan angin pula lebih kurang 16 hingga 18 knot yang boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot-bot kecil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!