Semak dulu sebelum sewa kenderaan di Langkawi - JPJ

Aedy Fadly (tengah) mengampaikan replika lesen kepada pengguna pada lawatan rasmi pertama beliau ke JPJ Kedah pada Ahad.
Aedy Fadly (tengah) mengampaikan replika lesen kepada pengguna pada lawatan rasmi pertama beliau ke JPJ Kedah pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan secara terperinci terlebih dahulu sebelum menggunakan perkhidmatan kenderaan sewa di Langkawi.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pengguna diminta lebih berwaspada bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

Menurut beliau, JPJ menerima aduan daripada pemain industri di pulau peranginan itu mengenai kegiatan kenderaan sewa tidak berlesen.

"Jadi kenderaan persendirian, kita pun sedia maklum, insurans yang cover (lindungi) itu adalah insurans untuk orang persendirian iaitu pemilik kenderaan itu sendiri.

"Apabila pemilik kenderaan membenarkan secara tidak sah (maka) risiko akan berlaku kepada penyewa kerana insurans tak lindungi," katanya pada sidang akhbar khas sempena lawatan rasmi pertama Ketua Pengarah JPJ ke JPJ Kedah di sini pada Ahad.

Aedy Fadly berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi JPJ ke atas kenderaan sewa tidak berlesen di Pulau Langkawi pada dua minggu lepas.

Dalam pada itu, Aedy Fadly melahirkan kebimbangan berikutan insurans untuk kenderaan persendirian ini tidak melindungi penyewa kenderaan sekiranya berlaku kemalangan.

"Itu risiko yang besar sangat kepada penyewa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan pengguna untuk melihat dengan lebih terperinci di kaunter dan membuat perbincangan sewajarnya sekiranya menyewa kenderaan terbabit.

Dalam perkembangan sama, Aedy Fadly berkata, JPJ sama sekali tidak berhasrat mengganggu perniagaan dilakukan di Pulau Langkawi.

Bagaimanapun, katanya, operasi secara berkala terbabit dilaksanakan berikutan aduan diterima daripada pemain industri terlibat.

"Jadi bila ada aduan, kita terpaksa ambil tindakan dan kita tidak sewenang-wenangnya terus melulu terus membuat operasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!