Koridor Ekonomi Anjung Selatan beri banyak manfaat: MB Negeri Sembilan

Aminuddin (tengah) melawat Program NS FEST 2024.
Aminuddin (tengah) melawat Program NS FEST 2024.
A
A
A

NILAI - Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan bersama Johor dan Melaka bagi membincangkan secara terperinci cadangan bagi mewujudkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya menyambut baik cadangan berkenaan dan perbincangan lanjut mengenainya akan diadakan dalam masa terdekat.

"Saya percaya dan yakin ia akan memberi manfaat dalam pelbagai aspek seperti perindustrian dan pelaburan.

"Kita telah bincang perkara tersebut secara terperinci dan kita akan adakan satu pertemuan, insya-ALLAH tak kira di mana atau siapa akan jadi tuan rumah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Negeri Sembilan Festival (NS FEST) 2024 di Dataran Nilai di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan, kerjasama antara Melaka, Johor dan Negeri Sembilan menerusi Koridor Ekonomi Anjung Selatan itu secara tidak langsung memberi pulangan ekonomi dalam sektor ekopelancongan serta perindustrian.

Menurut Ab Rauf, satu jawatankuasa induk akan dibentuk bagi memulakan rundingan, gerak kerja dan kajian kerjasama berkaitan penubuhan Koridor Ekonomi Anjung Selatan dalam masa terdekat.

Katanya, memandangkan ketiga-tiga negeri itu terletak saling bersempadan, satu pembangunan koridor ekonomi yang boleh memberikan kepentingan bersama kepada negeri dan rakyat ketiga-tiga negeri mesti diwujudkan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!