Padah simpan minyak masak melebihi had

Anggota KPDN membuat pemeriksaan di sebuah syarikat membungkus minyak masak di Kulai. Foto KDPN
Anggota KPDN membuat pemeriksaan di sebuah syarikat membungkus minyak masak di Kulai. Foto KDPN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas minyak masak dianggarkan bernilai RM8.47 juta dari sebuah syarikat membungkus minyak masak di sekitar Kulai pada Rabu lalu.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan pada 8.15 malam itu, premis berkenaan didapati menyimpan barang kawalan melebihi kuantiti yang ditetapkan.

Jelas beliau, pemeriksaan dibuat susulan pengauditan yang dilakukan pegawai penguatkuasa dari Ibu Pejabat KPDN Putrajaya ke atas dokumentasi urus niaga penjualan minyak masak syarikat tersebut.

"Ketika pemeriksaan dilakukan anggota penguatkuasa telah berjumpa dengan seorang pekerja syarikat bagi mendapatkan maklumat serta mengemukakan pengisytiharan stok di bawah Sekyen 8, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Pemeriksaan yang dilakukan KPDN di sebuah syarikat membungkus minyak masak di Kulai. Foto KDPN
Pemeriksaan yang dilakukan KPDN di sebuah syarikat membungkus minyak masak di Kulai. Foto KDPN

"Hasil pemeriksaan mendapati kuantiti minyak masak yang berada di premis perniagaan tersebut melebihi dari had kuantiti simpanan minyak masak yang diluluskan di bawah Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) Borong," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, tindakan diambil dengan menyita 1,635.3 tan metrik minyak masak pelbagai jenis minyak masak dan beberapa dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 9(1), Peraturan–Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!