Ikan hiasan 'laku keras' di Karnival Rakyat Karangkraf

Ahmad Amirul menunjukkan ikan hiasan yang dijualnya di Karnival Rakyat Karangkraf.
Ahmad Amirul menunjukkan ikan hiasan yang dijualnya di Karnival Rakyat Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Percubaan pertama pengusaha ikan hiasan, Ahmad Amirul Aizat Ab Ghafar, 37, menyertai program anjuran Kumpulan Karangkraf memberi tuah buatnya apabila memperoleh hasil jualan memberangsangkan.

Menurut usahawan dari Semenyih itu, disebabkan permintaan yang tinggi daripada pengunjung dia terpaksa meminta bantuan rakannya untuk menghantar bekalan ikan berkenaan.

Ujarnya, ladang atau pusat penternakan ikan hiasan yang diusahakan bersama seorang lagi rakannya sejak hampir 10 tahun lalu terletak di Semenyih dan Kajang.

"Alhamdulillah, Karnival Rakyat Karangkraf ini merupakan penyertaan pertama saya dalam aktiviti yang dianjurkan syarikat ini. Alhamdulillah, saya tidak sangka sambutan yang diterima sangat baik.

"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa yang begitu meminati ikan hiasan ini. Selain keunikan dan warnanya, ikan hiasan turut digemari kerana mudah untuk dijaga.

"Insya-ALLAH jika ada lagi aktiviti sebegini pada masa akan datang, saya berhasrat untuk sertai lagi sebagai penyewa tapak jualan," katanya ketika ditemui di Kumpulan Karangkraf di sini pada Ahad.

Ahmad Amirul menunjukkan ikan hiasan yang dijualnya di Karnival Rakyat Karangkraf.
Ahmad Amirul menunjukkan ikan hiasan yang dijualnya di Karnival Rakyat Karangkraf.

Tambah Ahmad Amirul, hari pertama karnival yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan lebih separuh daripada hampir 200 kotak ikan hiasan yang dibawanya habis terjual.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi karnival kali ini sebanyak empat jenis ikan hiasan yang dijual iaitu double tail betta (DT), halfmoon betta crowntail beta dan plakat betta dengan tawaran harga bermula RM5 sehingga RM30.

Sementara itu, ditanya cabaran terbesar mengusahakan ikan laga, Ahmad Amirul berkata, faktor cuaca dan ancaman burung perosak menjadi antara kekangan utama dialami pengusaha sepertinya.

"Spesis ikan hiasan ini sangat sensitif dengan cuaca sejuk. Antara cabaran besar bagi usahawan industri ini ialah musim hujan dan tengkujuh," katanya.

Karnival Rakyat Karangkraf yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat dianjurkan sempena memperingati ulang tahun ke-18 Sinar Harian.

Tujuan utama penganjuran karnival ini adalah untuk meraikan keunikan warisan budaya Malaysia dan memberikan penghormatan kepada pembaca Sinar Harian yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan keturunan.

Bertemakan tradisional dan kerakyatan, karnival ini mengetengahkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!