Cuaca buruk: Hampir 2,000 penumpang feri terkandas

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Dari kiri; Norhafiz, Sarah dan Alejandra.)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Dari kiri; Norhafiz, Sarah dan Alejandra.)
A
A
A

KUALA KEDAH - Kira-kira 1,926 penumpang feri terkandas selepas Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd terpaksa membatalkan lapan perjalanan berikutan cuaca buruk di laut pada Ahad.

Pengurus Operasinya, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, feri sekali lagi tidak dapat meneruskan perjalanan berikutan ketinggian ombak lebih kurang 4 meter (m), manakala kelajuan angin lebih kurang 16 hingga 18 knot.

Menurut Norhafiz, pembatalan terpaksa dibuat memandangkan cuaca buruk dibimbangi boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot-bot kecil.

"Kedua-dua arus di Pulau Payar kuat, jadi sekiranya feri dapat melepasi Pulau Payar bermakna selamat untuk meneruskan perjalanan.

"Namun, jikalau sebelum pada itu (Pulau Payar) sudah terkena (ombak), maka kita tidak teruskan perjalanan sebab feri kita punya material adalah daripada fiber," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Terminal Feri Kuala Kedah di sini pada Ahad.

Tambah Norhafiz, pembatalan itu melibatkan trip laluan Pulau Langkawi ke Kuala Kedah dan laluan Kuala Kedah ke Pulau Langkawi.

"Jumlah penumpang yang tidak boleh meneruskan pelayaran Pulau Langkawi ke Kuala Kedah adalah seramai 1,030 penumpang, manakala jumlah penumpang dari Kuala Kedah menuju Pulau Langkawi seramai 896 orang," katanya.

Beliau memaklumkan, jumlah keseluruhan penumpang yang terkesan adalah seramai 1,926 penumpang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara trip dibatalkan termasuklah trip dari Pulau Langkawi jam 12.30 tengah hari dengan muatan 259 penumpang, diikuti trip dari Kuala Kedah pada jam 1.30 tengah hari (546 penumpang), trip dari Pulau Langkawi pada jam 2.30 petang (271 penumpang) dan trip dari Kuala Kedah pada jam 3.30 petang (147 penumpang).

"Selain itu, pembatalan turut melibatkan trip jam 4.30 petang dari Pulau Langkawi dengan muatan 345 penumpang, disusuli trip jam 5.30 petang dari Kuala Kedah (127 penumpang), trip jam 7 malam (155 penumpang) dan trip jam 7.30 malam dari Kuala Kedah (76 penumpang).

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd telah menyediakan trip tambahan untuk pilihan kepada penumpang ke Pulau Langkawi menuju Kuala Perlis pada jam 6 petang.

Dalam perkembangan sama, Norhafiz berkata, penumpang yang ingin menukarkan tarikh dan masa untuk hari berikutnya, bolehlah membuat atau mengikut proses yang sedia ada.

Beliau berkata, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi.

Sementara itu, penumpang, Alejandra Canoura, 48, dari Spain, berkata, dia kali pertama datang ke Malaysia dan ingin melancong ke Langkawi.

Katanya, dia tidak sabar untuk meneroka keindahan Pulau Langkawi sekali gus datang lebih awal untuk merealisasikan hasratnya.

Bagaimanapun, katanya, dia akur apabila trip ke pulau peranginan itu terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk.

Katanya, dia dan suaminya akan bermalam terlebih dahulu di hotel di Bandaraya Alor Setar sebelum mengambil trip baharu ke Pulau Langkawi pada Isnin.

Bagi seorang lagi penumpang, Sarah Sofia Mohamad, 21, berkata, dia yang sedang bercuti semester berhasrat pulang ke rumahnya di Langkawi menaiki feri melalui Terminal Feri Kuala Kedah.

Bagaimanapun, katanya, dia agak terkejut apabila dimaklumkan trip dibatalkan akibat cuaca buruk sebaik sampai di terminal terbabit.

Menurutnya, dia memahami trip terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk dan akan meneruskan perjalanan ke Langkawi melalui Kuala Perlis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!