Motor Siput nampak mudah tapi sukar nak imbang motosikal
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertandingan Motor Siput kali pertama diperkenal pada Karnival Rakyat Karangkraf mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Penyelaras pertandingan itu, Nur Farhana Abdul Manan berkata, pertandingan unik yang dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang itu turut melibatkan penyertaan peserta wanita.
“Lebih meninggalkan kenangan manis apabila turut disertai oleh wakil anggota badan beruniform seperti polis dan bomba, wakil kelab pemotoran MT15 COC selain pempamer serta orang ramai yang datang ke Karnival Rakyat Karangkraf,” katanya pada Ahad.
Jelasnya, format pertandingan ini adalah berdasarkan kepada motosikal yang paling lambat sampai ke garisan penamat adalah pemenang.
“Nampak mudah tetapi ianya memerlukan tumpuan dan daya imbangan yang tinggi kerana jika kaki jejak ke tanah maka peserta dikira gagal,” katanya.
Pertandingan itu menawarkan hadiah utama bernilai RM150, RM100 (kedua) dan RM50 (ketiga), serta hamper bagi tempat keempat dan kelima yang ditaja oleh Sinar Harian.
Sementara itu, pemenang tempat pertama pertandingan itu, Mohd Khairul Azim Mohd Noor, 24, berkata, wang kemenangan itu akan digunakan untuk menukar tayar baharu motosikalnya.
*media[2743453]**“Dah lama nak tukar tayar tapi tiada rezeki lagi, bila menang duit ini saya mahu gunakan untuk tukar tayar depan dan belakang yang bunganya telah haus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!