Perjelas kaedah kuat kuasa larangan hiburan malam Jumaat

Azam Kelantan meminta kerajaan negeri menjelaskan kaedah penguatkuasaan terhadap larangan sebarang aktiviti hiburan pada malam Jumaat secara lebih terperinci kepada rakyat. Gambar sekadar hiasan.
Azam Kelantan meminta kerajaan negeri menjelaskan kaedah penguatkuasaan terhadap larangan sebarang aktiviti hiburan pada malam Jumaat secara lebih terperinci kepada rakyat. Gambar sekadar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) meminta kerajaan negeri menjelaskan kaedah penguatkuasaan terhadap larangan sebarang aktiviti hiburan pada malam Jumaat secara lebih terperinci kepada rakyat.

Koordinator Azam Kelantan, Nizam Muhamad, berkata, semua sedia maklum akan peraturan itu bertepatan dengan kerukunan masyarakat setempat yang menginginkan suasana aman pada waktu malam hari tanpa sebarang gangguan.

Menurut Nizam, bagaimanapun penjelasan lebih mendalam daripada kepimpinan Negeri Kelantan berkait beberapa perkara mengikut larangan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998 itu amat penting untuk membantu penguatkuasaan undang-undang.

Nizam
Nizam

“Sehingga kini, pelanggaran terhadap enakmen tersebut masih berlaku, sekali gus memperlihatkan seolah-olah enakmen itu sekadar tulisan undang-undang tanpa tindakan yang lebih berkesan.

“Kami perlu tahu beberapa perkara termasuk kaedah untuk orang awam membuat aduan sekiranya melihat aktiviti hiburan yang bercanggah dengan enakmen berkenaan misalnya melibatkan pertunjukan atau latihan dikir barat yang dianjurkan di tempat terbuka pada malam Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, rakyat juga perlu mengetahui pihak yang sepatutnya melakukan serbuan dan perkembangan kes-kes yang menyalahi enakmen tersebut seperti contoh berkait Konsert Loy Kratong di Bachok pada 25 November lalu.

“Pihak mana-manakah sepatutnya melakukan serbuan dan tindakan untuk menghentikan aktiviti hiburan apabila mendapati ada artis yang membuat persembahan berpakaian mencolok mata seperti dalam konsert tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Penganjur-penganjur majlis juga perlu mengetahui had keamatan bunyi unit desibel (dB) yang dibenarkan untuk sebarang aktiviti kebudayaan bagi menggelakkan pencemaran bunyi selain memperincikan tempoh masa yang ditetapkan oleh kerajaan negeri untuk mengambil tindakan ke atas satu-satu kes pelanggaran enakmen,” katanya.

Persembahan tarian yang diadakan di Kota Bharu sempena pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024 yang lalu. Gambar sekadar hiasan.
Persembahan tarian yang diadakan di Kota Bharu sempena pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024 yang lalu. Gambar sekadar hiasan.

Tambah Nizam, penetapan prosedur operasi standard penting bagi memastikan garis masa untuk kerajaan negeri mengambil tindakan dipatuhi.

Beliau turut mencadangkan garis panduan khas untuk acara hiburan di rumah ibadat bukan Islam di negeri Kelantan.

“Satu garis panduan khas boleh mengelakkan polemik dan memberi ruang kepada bukan Islam melangsung acara hiburan di premis mereka dengan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Kelantan tidak membenarkan sebarang bentuk aktiviti hiburan atau bunyi-bunyian muzik pada setiap malam Jumaat seperti mana termaktub dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!