MDUR 88 setanding musang king
KUALA KANGSAR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempergiat usaha mempromosikan tanaman durian hibrid jenis MDUR 88.
Timbalan Menteri, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, variati durian yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tersebut kini mendapat permintaan tinggi dalam negara setanding musang king.
Menurutnya, berdasarkan dapatan dilakukan, didapati MDUR 88 mempunyai rasa menyamai jenis musang king, namun harganya jauh lebih berpatutan di pasaran.
"Maklum balas yang positif itu memberikan kita keyakinan bahawa durian ini mempunyai potensi sangat besar.
"Pastinya kementerian akan usahakan untuk mempromosikan dan memperkenalkan variati durian ini kepada pasaran dan selepas itu boleh berbincang perancangan untuk mengembangkan tanamannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar yang turut dihadiri Pengarah MARDI Perak, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob di sini pada Ahad.
Arthur berkata, setakat ini, pengeluaran durian MDUR 88 yang diperkenalkan pada 1991 masih belum mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara.
Justeru katanya, KPKM melalui MARDI telah menggerakkan usaha memperluaskan tanaman variati durian berkenaan agar pengeluarannya nanti dapat memenuhi pasaran antarabangsa.
"MDUR 88 agak baru di pasaran jadi fokus kita adalah mempromosi dan pastikan tanamannya dapat dikembangkan.
"Salah satu usaha kita lakukan adalah melalui Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar ini yang mana apabila dibuka kepada orang ramai, pengunjung dari dalam dan luar negara seperti China, Thailand dan Kazakhstan melawat dan dapat mencuba pelbagai variati durian termasuk MDUR 88," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, MDUR 88 paling popular berbanding durian hibrid MDUR 78 dan MDUR 79 kerana warna isinya yang keemasan dan rasanya yang manis berlemak, setanding musang king.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!