SK Kampung Medan muncul juara pertandingan tarian

SK Kampung Medan menjuarai Pertandingan Tarian di Karnival Rakyat Karangkraf pada Ahad.
SK Kampung Medan menjuarai Pertandingan Tarian di Karnival Rakyat Karangkraf pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengalaman dan pendedahan awal mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan memberi kelebihan buat Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan untuk meraih tempat pertama pertandingan tarian sempena Karnival Rakyat Karangkraf.

Penyelaras Kumpulan Kebitaraan sekolah berkenaan, Mohamed Hanafi Wahab berkata, ia turut membantu pelajar supaya lebih selesa berada di atas pentas bagi menunjukkan bakat masing-masing.

Menurutnya, kumpulan tarian berkenaan pernah menjadi juara dalam Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Malaysia anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini.

Pertandingan Tarian di Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam pada Ahad.
Pertandingan Tarian di Karnival Rakyat Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam pada Ahad.

“Kebiasaannya, latihan mereka berjadual yang mana kita akan buat selepas waktu sekolah sama ada di sebelah petang mahupun malam.

“Kalah atau menang itu adat pertandingan, tugas kita sebagai guru cuma memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka.

“Sokongan daripada guru-guru dan ibu bapa juga sangat membantu murid untuk tampil lebih yakin berada di atas pentas dengan bakat seni. Tidak kira pelajar buat persembahan atau pertandingan, mereka akan datang beri sokongan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi kategori sekolah rendah, johan memenangi hadiah wang tunai RM300 berserta trofi, naib johan disandang SK USJ 12 membawa pulang RM200 berserta trofi dan tempat ketiga pula SK Taman Megah dengan RM100 bersama trofi.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan tarian itu dibarisi juri profesional iaitu Jurulatih Seni Budaya Negara (Bidang Tari) dan artis budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Zainuddin Abdullah, bekas Koreografer JKKN Selangor, Muhammad Muhaldin Jamin dan Pengarang Eksekutif (Digital), Ruzy Adila Idris.

Mohamed Hanafi
Mohamed Hanafi

Mohamed Hanafi memberitahu bahawa dua pelajar daripada kumpulan tarian SK Kampung Medan itu pernah mewakili Selangor untuk kontinjen Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam Pertandingan Antarabangsa di Bulgaria.

Bukan itu sahaja, menurutnya, pelajar berkenaan juga dapat menyertai Jelajah Budaya di Turkiye pada April lalu.

“Dua daripada mungkin 30 lebih pelajar mewakili Malaysia itu ialah pelajar kami. Kontinjen Malaysia bertanding di sana dengan negara-negara Eropah lain,” katanya ringkas.

Guru kebudayaan itu turut memaklumkan kejuaraan pada hari ini merupakan kemenangan kedua mereka di Kompleks Kumpulan Karangkraf yang mana kumpulan tersebut turut menyertai Pertandingan Tarian anjuran Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) tahun lalu.

“Sekolah kami pernah menyertai pertandingan tarian tahun lalu dan juara kedua-duanya, alhamdulillah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!