Perluas program Eco-Schools di seluruh negara - KPM
KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyokong penuh pelaksanaan Program Eco-Schools agar ia dapat diperkenal dan diperluaskan ke setiap sekolah di seluruh negara.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Abdul Muie Ngah berkata, inisiatif tersebut bersesuaian dengan keperluan masa kini untuk diperkenalkan kepada murid, guru, warga sekolah, dan komuniti.
Menurutnya, program Eco-Schools berteraskan pendekatan pembelajaran berasaskan projek merupakan antara kaedah penting untuk murid mendalami subjek dipelajari.
"Program Eco-Schools yang menggunakan pendekatan menyeluruh dalam pelaksanaannya telah menarik minat KPM untuk menyokong dan mengembangkan program ini ke seluruh negara supaya lebih banyak sekolah dapat menerima manfaat.
"KPM menyokong usaha yang dijalankan oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) melalui sekolah-sekolah Eco-Schools di Terengganu agar warga pendidikan di seluruh negeri ini yang inginkan keharmonian sentiasa bergerak seiringan ke arah mewujudkan kelestarian alam sekitar.
"Pengintegrasian aspek kurikulum dan pendidikan dalam arus perdana ini selari dengan hasrat yang diterjemahkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya ketika berucap mewakili Ketua Pengarah Pendidikan sempena majlis pelancaran Program Eco-Schools Terengganu di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif GGAF, Datuk Ir Ts Dr Mahadi Mohamad.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, seramai 200 murid dari 50 sekolah terpilih di negeri itu menyertai Program Eco-Schools Terengganu yang dilaksanakan hasil kerjasama Yayasan Petronas, GGAF dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).
Katanya, program berasaskan pendidikan alam sekitar itu akan dilaksanakan selama tiga tahun bermula dari 2023 hingga 2026.
Menurutnya, program tersebut diperkenalkan bagi memupuk kesedaran alam sekitar dan menggalakkan penyertaan aktif pelajar di negeri berkenaan.
Beliau memberitahu, program itu turut melibatkan dua buah sekolah berkeperluan khas iaitu Sekolah Pendidikan Khas Besut dan Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu.
"Yayasan Petronas sentiasa komited menyokong usaha untuk membentuk generasi yang menghargai dan melindungi warisan semula jadi.
"Melalui program ini, murid dan pelajar terpilih diperkasakan sebagai ejen yang proaktif melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran alam sekitar di dalam kurikulum sekolah.
"Justeru Program Eco-Schools Terengganu ini telah digubal khas melalui integrasi elemen kemampanan yang sesuai ke dalam sukatan mata pelajaran di sekolah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!