Sanggup tinggal barang dibeli elak dicekup

Antara warga asing yang ditahan pihak berkuasa.
Antara warga asing yang ditahan pihak berkuasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang warga asing nekad meninggalkan barangan yang dibeli apabila mengetahui pihak berkuasa sedang 'menggempur' pasar raya berkenaan.

Barang-barang seperti sayur, daging dan ayam itu diisi di dalam sebuah troli ditinggalkan berhampiran pintu masuk sebelum warga asing itu menghilangkan diri.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, Operasi Bersepadu Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dijalankan bersama beberapa agensi lain di pasar raya berkenaan berjaya menahan seramai 36 warga asing berusia dalam lingkungan 25 hingga 52 tahun atas pelbagai kesalahan.

"Dalam operasi yang bermula 11.30 pagi, seramai 150 warga asing telah diperiksa di 30 premis di pasar raya berkenaan.

"Daripada jumlah itu, seramai 36 ditahan melibatkan 22 warga Indonesia, Myanmar (7), India (4), dan masing-masing seorang lelaki Pakistan, Nepal dan Bangladesh.

"Ada juga warga asing yang cuba melepaskan diri dengan memberikan alasan pasport dan permit kerja disimpan majikan.

"Bagaimanapun, alasan berkenaan tidak diterima kerana tiada bukti dikemukakan dan mereka tetap ditahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Tambah Hussin, selain cuba melarikan diri, ada juga warga asing yang cuba menyorok tetapi berjaya ditangkap.

Katanya, kesalahan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah, Seksyen 15(1) Akta Imigresen iaitu tinggal lebih masa di negara ini dan peraturan 39(B) peraturan-peraturan imigresen kerana melanggar syarat-syarat sah yang telah ditetapkan.

Tambahnya, kesemua warga asing itu akan dibawa ke Depot Tahanan Setia Tropika bagi siasatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!