DBKL baik pulih Pasar Datuk Keramat

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maklum gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pihak berkuasa tempatan itu menyelesaikan kemelut pembangunan semula Pasar Datuk Keramat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh berkata, pihaknya akan membaik pulih pasar berkenaan dan menjalankan kerja-kerja pembersihan dalam masa terdekat.

Menurutnya, DBKL kini sedang mengenal pasti kerosakan di pasar berkenaan bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat diambil tindakan segera.

"DBKL juga akan menyelaras satu sesi libat urus dan bancian bersama peniaga Pasar Datuk Keramat.

"Perkara-perkara yang akan dimaklumkan termasuk mengenai proses permohonan lesen baru, kadar sewa dan pengoperasian pasar di masa akan datang, " katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, berdasarkan semakan di tapak, dianggarkan terdapat 300 peniaga di sana melibatkan pelbagai jenis jualan barangan basah, runcit dan gerai makan.

Selain itu katanya, terdapat 50 penjaja di dalam bangunan bersebelahan yang telah dibina bagi menggantikan tapak lama Pasar Datuk Keramat yang terbakar sebelum ini.

Pada Jumaat, Anwar membuat gesaan itu selepas mengadakan lawatan ke Pasar Dato Keramat dan medan selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, Pasar Datuk Keramat dilihat daif dan sudah tertangguh sejak enam tahun lalu.

Ia selepas DBKL memberikan kawasan itu kepada syarikat pemaju untuk menaik taraf pasar berkenaan, namun ia gagal dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!