Princess Lusy juara pakaian tercantik Tomkraf

Anis Wahidah (kiri) bersama Princess Lusy ketika menyertai pertandingan pakaian kucing tercantik yang berlangsung sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di Kompleks Karangkraf.
Anis Wahidah (kiri) bersama Princess Lusy ketika menyertai pertandingan pakaian kucing tercantik yang berlangsung sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di Kompleks Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Kucing baka tempatan dikenali sebagai Domestik Long Hair yang diberi nama Princess Lusy meraih tempat pertama dalam pertandingan pakaian kucing tercantik anjuran Tomkraf yang berlangsung sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024.

Kucing betina berusia lima tahun itu dimiliki oleh Anis Wahidah Che Aziz, 30.

Anis Wahidah berkata, Princess Lusy sememangnya suka fesyen dan sering kali menggayakan baju yang disarungkan kepadanya.

"Saya sentiasa teruja untuk membeli pakaian setiap kali melihat baju kucing yang cantik. Paling penting kena berkonsepkan puteri, misalnya baju gaun kerana Princess Lusy lebih gemar kepada fesyen sebegitu.

"Oleh sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan baju tercantik kerana tahu itu minatnya, di samping ingin memartabatkan keunikan warisan budaya Malaysia seiring dengan tema Karnival Rakyat," katanya.

Karnival Rakyat Karangkraf 2024 diadakan di Kumpulan Karangkraf, selama tiga hari bermula Jumaat mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.

Program dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-18 Sinar Harian itu kini sedang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam sehingga Ahad.

Artikel Berkaitan:

Peserta pertandingan pakaian kucing tercantik yang berlangsung sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di Kompleks Karangkraf.
Peserta pertandingan pakaian kucing tercantik yang berlangsung sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 di Kompleks Karangkraf.

Karnival itu turut memberikan peluang kepada pengunjung bagi memenangi motosikal dan pakej umrah dalam sesi cabutan bertuah.

Menurut Anis Wahidah, Princess Lusy merupakan kucing jalanan yang diambil dan dirawat sejak empat tahun lalu.

"Sebenarnya Princess Lusy datang ke rumah saya, sebulan cari pemiliknya namun tidak jumpa. Jadi saya ambil keputusan untuk jaga dan rawat sebab masa itu badannya penuh kurap serta mata berair.

"Alhamdulillah, sekarang sudah baik. Saya memperuntukkan sebanyak RM200 sebulan menguruskan Princess Lusy termasuk penjagaan, rawatan dan makannya," katanya.

Sementara itu, pemenang kedua adalah Tabby Debee Pesro yang berbaka British Short Hair.

Pemilik Tabby Debee Pesro, Nabilah Abdullah, 31, memberitahu, dia bersyukur memenangi pertandingan ini walaupun kali pertama menyertainya.

"Saya tidak sangka ia menang kerana persaingan agak sengit dengan kucing-kucing lain yang tidak kurang cantik dan hebat.

"Saya akan 'grooming' dia setiap minggu. Bagi saya tidak susah untuk jaga sebab saya pernah bela kucing kampung," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!