Cuaca panas: Bomba pantau kawasan pelupusan sampah
KUALA NERUS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi risiko kebakaran terutama melibatkan pembakaran terbuka susulan cuaca panas melanda negara ketika ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, setiap anggota bomba di seluruh negara diingatkan supaya memantau kawasan pelupusan sampah bagi mengelakkan kes pembakaran terbuka berlaku secara meluas.
"Pembakaran terbuka kebiasaannya melibatkan kawasan yang luas dan mengambil masa lama iaitu selama empat hingga lima jam.
"Apabila jentera keluar, kita terpaksa tarik jentera lain dalam keadaan bersiap siaga untuk respons. Jika berlaku dua tiga kes kebakaran di sesuatu daerah itu dan melibatkan semua (balai) untuk respons kesan kebakaran maka itu paling dibimbangkan.
"Jadi kita beri peringatan supaya setiap balai memantau kawasan pelupusan sampah sama ada haram atau beroperasi secara kawalan di bawah kerajaan kerana kita khuatir risiko tinggi cuaca panas ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar pada Majlis Perasmian Kejohanan Ragbi Bomba Tahun 2024 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nor Hisham menyatakan berlaku lonjakan kes pembakaran terbuka sejak kebelakangan ini.
"Dua hari lepas melibatkan lebih kurang 150 kes dan semalam meningkat kepada 249 kes.
"Jadi saya seru kepada masyarakat khusus di kawasan Perak, Selangor, Johor dan Sarawak supaya tidak ambil mudah selain cakna masalah yang dihadapi supaya tidak melakukan pembakaran terbuka semasa musim panas ketika ini," jelas beliau.
Pada Sabtu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah menyatakan taburan hujan yang rendah dijangka berterusan hingga bermula fasa peralihan monsun dengan situasi itu menyebabkan Malaysia berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September.
Menurut Muhammad Helmi, keadaan itu berlaku berikutan negara berada dalam musim Monsun Barat Daya sejak 17 Mei lalu.
Dalam tempoh ini jelasnya, kebanyakan kawasan akan mengalami cuaca kering berikutan kurangnya penumpuan udara lembap untuk menghasilkan hujan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!